Search This Blog

Monday, 26 March 2012

Implanon : Kaedah Efektif Cegah Hamil





KEBANYAKAN kaum wanita sekarang semakin bijak menyusun kelahiran anak agar setanding dengan amalan gaya hidup yang mementingkan kualiti daripada kuantiti. Kesan daripada perkembangan dalam bidang kawalan kehamilan, telah wujud pelbagai pilihan dalam kaedah kontraseptik jika dibandingkan dengan generasi terdahulu. Sungguh pun begitu, keperluan setiap individu untuk menyusun keluarga mungkin berbeza antara keluarga yang lain mengikut perubahan dan tuntutan hidup masing-masing. Inilah salah satu sebab terdapat pelbagai pilihan yang disyorkan oleh pengamal perubatan di negara ini. Jika sebelum ini kaedah menggunakan kondom, pil dan suntikan sebagai kawalan kehamilan yang popular, terbaru wanita di negara ini diperkenalkan dengan implanon.

Ia merupakan salah satu daripada kaedah kontraseptik yang mudah pulih dan bertahan dalam jangka masa panjang. Bentuknya seperti sebatang lidi yang kecil dan boleh dipasang di bawah kulit di bahagian lengan dekat dengan tubuh si pengguna.

Menurut Pengurus Produk Kanan merangkap Ahli Farmasi Organon (M) Sdn Bhd, Tee Loong Tek, kaedah implanon sesuai untuk mana-mana wanita yang berkehendakkan kaedah kontraseptif untuk jangka masa panjang.

Menurutnya, Implanon berupaya mencegah kehamilan dengan mengeluarkan hormon secara beransur-ansur untuk menghalang pengeluaran telur (ovum) bulanan daripada ovari.

Ia turut menghalang sperma daripada memasuki rahim. Lantaran itu, persenyawaan tidak akan berlaku dan kehamilan akan dicegah. Perlindungan daripada kehamilan akan bermula daripada hari pertama pemasangan implanon dan keberkesanannya boleh bertahan selama tiga tahun.

"Implanon telah dirumus untuk berkesan selama tiga tahun, walau bagaimanapun, ia akan terus berfungsi selepas tiga tahun tetapi keberkesanannya akan menurun secara beransur-ansur.

"Justeru, implanon wajar dikeluarkan selepas tiga tahun dan implanon baru dipasang atau kaedah kontraseptif lain perlu digunakan sekiranya wanita tersebut tidak bercadang untuk hamil,"katanya.

Katanya, kaum wanita tidak perlu bimbang dengan keberkesannya kerana setakat ini kajian-kajian klinikal menunjukkan, kaedah kontraseptif cara implanon amat berkesan dan dijamin efektif sehingga seratus peratus. Sehingga kini tidak ada laporan kehamilan terhadap penggunaannya.

"Seperti kaedah kontraseptif yang lain, pihak doktor akan menjalankan pemeriksaan kepada wanita untuk mengenalpasti sama ada kaedah tersebut sesuai atau sebaliknya,"katanya.

Pemasangannya hanya mengambil masa satu minit. Ubat bius atau kebas akan diberikan pada kawasan untuk dipasang implanon bagi mengurangkan kesakitan. Selepas pemasangan, bahagian lengan akan dibalut untuk mengurangkan risiko sengal dan lebam. Si pengguna perlu memastikan balutan sentiasa kering dan bersih sebelum ditanggalkan selepas 24 jam.

Beliau menyambung, seperti kesan penggunaan kaedah kontraseptif yang lain, implanon juga mempunyai kesan sampingannya yang tersendiri.

"Implanon berkemungkinan besar mempengaruhi pusingan haid si pengguna. Corak pendarahan haid berkemungkinan menjadi kurang tepat,"katanya.

Bagaimanapun katanya, perubahan tersebut berbeza bagi setiap wanita, mungkin sebilangan mendapati pusingan haid berubah sedikit, berhenti selalu atau datang sekali-sekala.

Sebahagiannya pula mendapati pusingan haid berhenti dan ini tidak bermakna yang wanita itu hamil. Bagaimanapun, kaedah ini boleh mengurangkan kesakitan senggugut sehingga 88 peratus bagi yang mengamalkannya. Selain itu juga, kajian klinikal mendapati jerawat dilaporkan sebagai kesan sampingan ubat di mana 14 peratus pengguna mengalaminya.

Manakala 59 peratus daripada wanita yang menggunakan kaedah ini pula mendapati jerawat mereka semakin pulih. Sementara 10 peratus pula mendapati keadaan mereka menjadi lebih buruk.

"Kesan kontraseptif hormon juga menyebabkan pening kepala, loya, sengal payudara dan perubahan emosi turut dilaporkan sebagai kesan sampingan yang berkaitan dengan penggunaannya.

"Bagaimanapun, kesan sampingan seperti itu juga biasa bagi wanita yang tidak menggunakan hormon. Oleh itu, kesan tersebut tidak semestinya disebabkan oleh hormon,"jelasnya.

Bagi wanita yang ingin mengandung semula, seperti memasangnya ia juga perlu dikeluarkan oleh pegawai kesihatan profesional yang terlatih mengenai prosedur tersebut. Pengeluarannya memakan masa selama tiga minit di mana ubat bius akan digunakan di tempat ia dimasukkan.

Insisis atau hirisan sepanjang 2 mm akan dibuat dan implanon akan dikeluarkan. Luka akan dibalut untuk mengurangkan risiko melecet dan kemungkinan terjadinya parut pada bekas implanon tersebut.

Bagi wanita yang baru lepas melahirkan dan tidak menyusukan bayi, implanon boleh dipasang 21 hingga 28 hari selepasnya. Selepas ia dipasang, doktor akan mengesyorkan wanita tersebut menggunakan kondom sebagai kaedah sampingan selama tujuh hari.


Implanon Kaedah Tidak Bertentangan Dengan Islam



PERKATAAN susuk biasanya dikaitkan dengan amalan menanam emas, perak, berlian dan sebagainya di bahagian-bahagian tertentu dalam badan. Kebiasaannya ia bertujuan untuk menjadikan si pemakai kelihatan cantik dan tidak jemu dipandang.

Bagaimanapun, tahukah anda bahawa susuk juga boleh digunakan untuk tujuan merancang keluarga.

Berbeza dengan susuk biasa, susuk yang diberi nama Implanon ini disahkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan tidak bertentangan dengan ajaran Islam.

Malahan, ia merupakan kaedah rawatan moden yang mudah dan berkesan berbanding kaedah-kaedah merancang keluarga yang lain.

Sementara itu, menurut Dr. Lai, kaedah penanaman Implanon yang mengandungi hormon progesteron di bawah kulit lengan wanita ini mampu berfungsi menghalang kehamilan dalam tempoh 24 jam selepas ia ditanam.

Katanya, alat yang mengandungi 68 mg hormon progesteron yang ditanam di bawah lapisan kulit ini secara puratanya akan mengeluarkan 40 mikrogram hormon progesteron setiap hari bagi menghalang kehamilan.

Hasil kajian yang dijalankan di luar negara mendapati kaedah ini terbukti berkesan menjarakkan kehamilan dalam jangka masa tiga tahun.

"Kaedah kontraseptif yang menggunakan sejenis alat yang diperbuat daripada polimer bukan silikon sebesar batang mancis yang dikenali sebagai ethylenevinylacetate.

"Ia akan bertindak menghalang proses pengeluaran telur wanita (ovulasi) serta memekatkan lendir di pangkal rahim," katanya.

Menurut beliau, hasil kajian penyelidikan selama 12 tahun di luar negara mendapati, tiada kehamilan dilaporkan berlaku di kalangan 2,300 wanita yang telah menggunakan kaedah ini.

"Kaedah ini tidak memerlukan prosedur pembedahan yang besar, tidak meninggalkan sebarang parut, cukup mudah dan cepat sama ada untuk ditanam dan dikeluarkan semula.

"Prosedur menanam alat ini hanya mengambil masa satu minit dan dua minit untuk mengeluarkannya semula," jelas Dr. Lai.

Bagaimanapun, katanya meskipun kaedah ini berkesan menjarakkan kehamilan dalam jangka masa tiga tahun, namun wanita tersebut boleh mengeluarkan alat tersebut jika berhasrat untuk hamil.

"Sebaik saja wanita tersebut mengeluarkan alat ini, mereka boleh hamil seperti biasa," ujarnya.

Tambah beliau, bagi mengelakkan sebarang komplikasi, hanya pakar-pakar perubatan yang terlatih akan melakukan prosedur pacakan ini.

Menurut beliau, kaedah kontraseptif yang berkesan 100 peratus menghalang kehamilan ini juga bebas daripada sebarang kesan sampingan yang serius.

Malah, katanya penggunaan kaedah ini juga sebagai penawar kepada wanita yang sering kali mengalami senggugut ketika haid.

Penggunaan kaedah yang telah pun diluluskan oleh Kementerian Kesihatan hanya sesuai digunakan untuk wanita yang sudah berkahwin yang berumur tidak lebih 40 tahun.

No comments:

Post a Comment