KEBANYAKAN
kaum wanita sekarang semakin bijak menyusun kelahiran anak agar setanding
dengan amalan gaya hidup yang mementingkan kualiti daripada kuantiti. Kesan
daripada perkembangan dalam bidang kawalan kehamilan, telah wujud pelbagai
pilihan dalam kaedah kontraseptik jika dibandingkan dengan generasi terdahulu. Sungguh
pun begitu, keperluan setiap individu untuk menyusun keluarga mungkin berbeza
antara keluarga yang lain mengikut perubahan dan tuntutan hidup masing-masing.
Inilah salah satu sebab terdapat pelbagai pilihan yang disyorkan oleh pengamal
perubatan di negara ini. Jika sebelum ini kaedah menggunakan kondom, pil dan
suntikan sebagai kawalan kehamilan yang popular, terbaru wanita di negara ini
diperkenalkan dengan implanon.
Ia
merupakan salah satu daripada kaedah kontraseptik yang mudah pulih dan bertahan
dalam jangka masa panjang. Bentuknya seperti sebatang lidi yang kecil dan boleh
dipasang di bawah kulit di bahagian lengan dekat dengan tubuh si pengguna.
Menurut
Pengurus Produk Kanan merangkap Ahli Farmasi Organon (M) Sdn Bhd, Tee Loong
Tek, kaedah implanon sesuai untuk mana-mana wanita yang berkehendakkan kaedah
kontraseptif untuk jangka masa panjang.
Menurutnya,
Implanon berupaya mencegah kehamilan dengan mengeluarkan hormon secara
beransur-ansur untuk menghalang pengeluaran telur (ovum) bulanan daripada
ovari.
Ia
turut menghalang sperma daripada memasuki rahim. Lantaran itu, persenyawaan
tidak akan berlaku dan kehamilan akan dicegah. Perlindungan daripada kehamilan
akan bermula daripada hari pertama pemasangan implanon dan keberkesanannya
boleh bertahan selama tiga tahun.
"Implanon
telah dirumus untuk berkesan selama tiga tahun, walau bagaimanapun, ia akan
terus berfungsi selepas tiga tahun tetapi keberkesanannya akan menurun secara
beransur-ansur.
"Justeru,
implanon wajar dikeluarkan selepas tiga tahun dan implanon baru dipasang atau
kaedah kontraseptif lain perlu digunakan sekiranya wanita tersebut tidak
bercadang untuk hamil,"katanya.
Katanya,
kaum wanita tidak perlu bimbang dengan keberkesannya kerana setakat ini
kajian-kajian klinikal menunjukkan, kaedah kontraseptif cara implanon amat
berkesan dan dijamin efektif sehingga seratus peratus. Sehingga kini tidak ada
laporan kehamilan terhadap penggunaannya.
"Seperti
kaedah kontraseptif yang lain, pihak doktor akan menjalankan pemeriksaan kepada
wanita untuk mengenalpasti sama ada kaedah tersebut sesuai atau
sebaliknya,"katanya.
Pemasangannya
hanya mengambil masa satu minit. Ubat bius atau kebas akan diberikan pada
kawasan untuk dipasang implanon bagi mengurangkan kesakitan. Selepas
pemasangan, bahagian lengan akan dibalut untuk mengurangkan risiko sengal dan
lebam. Si pengguna perlu memastikan balutan sentiasa kering dan bersih sebelum
ditanggalkan selepas 24 jam.
Beliau
menyambung, seperti kesan penggunaan kaedah kontraseptif yang lain, implanon
juga mempunyai kesan sampingannya yang tersendiri.
"Implanon
berkemungkinan besar mempengaruhi pusingan haid si pengguna. Corak pendarahan
haid berkemungkinan menjadi kurang tepat,"katanya.
Bagaimanapun
katanya, perubahan tersebut berbeza bagi setiap wanita, mungkin sebilangan
mendapati pusingan haid berubah sedikit, berhenti selalu atau datang
sekali-sekala.
Sebahagiannya
pula mendapati pusingan haid berhenti dan ini tidak bermakna yang wanita itu
hamil. Bagaimanapun, kaedah ini boleh mengurangkan kesakitan senggugut sehingga
88 peratus bagi yang mengamalkannya. Selain itu juga, kajian klinikal mendapati
jerawat dilaporkan sebagai kesan sampingan ubat di mana 14 peratus pengguna
mengalaminya.
Manakala
59 peratus daripada wanita yang menggunakan kaedah ini pula mendapati jerawat
mereka semakin pulih. Sementara 10 peratus pula mendapati keadaan mereka
menjadi lebih buruk.
"Kesan
kontraseptif hormon juga menyebabkan pening kepala, loya, sengal payudara dan
perubahan emosi turut dilaporkan sebagai kesan sampingan yang berkaitan dengan
penggunaannya.
"Bagaimanapun,
kesan sampingan seperti itu juga biasa bagi wanita yang tidak menggunakan
hormon. Oleh itu, kesan tersebut tidak semestinya disebabkan oleh
hormon,"jelasnya.
Bagi
wanita yang ingin mengandung semula, seperti memasangnya ia juga perlu
dikeluarkan oleh pegawai kesihatan profesional yang terlatih mengenai prosedur
tersebut. Pengeluarannya memakan masa selama tiga minit di mana ubat bius akan
digunakan di tempat ia dimasukkan.
Insisis
atau hirisan sepanjang 2 mm akan dibuat dan implanon akan dikeluarkan. Luka
akan dibalut untuk mengurangkan risiko melecet dan kemungkinan terjadinya parut
pada bekas implanon tersebut.
Bagi
wanita yang baru lepas melahirkan dan tidak menyusukan bayi, implanon boleh
dipasang 21 hingga 28 hari selepasnya. Selepas ia dipasang, doktor akan
mengesyorkan wanita tersebut menggunakan kondom sebagai kaedah sampingan selama
tujuh hari.
Implanon
Kaedah Tidak Bertentangan Dengan Islam
PERKATAAN
susuk biasanya dikaitkan dengan amalan menanam emas, perak, berlian dan
sebagainya di bahagian-bahagian tertentu dalam badan. Kebiasaannya ia bertujuan
untuk menjadikan si pemakai kelihatan cantik dan tidak jemu dipandang.
Bagaimanapun,
tahukah anda bahawa susuk juga boleh digunakan untuk tujuan merancang keluarga.
Berbeza
dengan susuk biasa, susuk yang diberi nama Implanon ini disahkan oleh Majlis
Fatwa Kebangsaan tidak bertentangan dengan ajaran Islam.
Malahan,
ia merupakan kaedah rawatan moden yang mudah dan berkesan berbanding
kaedah-kaedah merancang keluarga yang lain.
Sementara
itu, menurut Dr. Lai, kaedah penanaman Implanon yang mengandungi hormon
progesteron di bawah kulit lengan wanita ini mampu berfungsi menghalang
kehamilan dalam tempoh 24 jam selepas ia ditanam.
Katanya,
alat yang mengandungi 68 mg hormon progesteron yang ditanam di bawah lapisan
kulit ini secara puratanya akan mengeluarkan 40 mikrogram hormon progesteron
setiap hari bagi menghalang kehamilan.
Hasil
kajian yang dijalankan di luar negara mendapati kaedah ini terbukti berkesan
menjarakkan kehamilan dalam jangka masa tiga tahun.
"Kaedah
kontraseptif yang menggunakan sejenis alat yang diperbuat daripada polimer
bukan silikon sebesar batang mancis yang dikenali sebagai ethylenevinylacetate.
"Ia
akan bertindak menghalang proses pengeluaran telur wanita (ovulasi) serta
memekatkan lendir di pangkal rahim," katanya.
Menurut
beliau, hasil kajian penyelidikan selama 12 tahun di luar negara mendapati,
tiada kehamilan dilaporkan berlaku di kalangan 2,300 wanita yang telah
menggunakan kaedah ini.
"Kaedah
ini tidak memerlukan prosedur pembedahan yang besar, tidak meninggalkan
sebarang parut, cukup mudah dan cepat sama ada untuk ditanam dan dikeluarkan
semula.
"Prosedur
menanam alat ini hanya mengambil masa satu minit dan dua minit untuk
mengeluarkannya semula," jelas Dr. Lai.
Bagaimanapun,
katanya meskipun kaedah ini berkesan menjarakkan kehamilan dalam jangka masa
tiga tahun, namun wanita tersebut boleh mengeluarkan alat tersebut jika
berhasrat untuk hamil.
"Sebaik
saja wanita tersebut mengeluarkan alat ini, mereka boleh hamil seperti
biasa," ujarnya.
Tambah
beliau, bagi mengelakkan sebarang komplikasi, hanya pakar-pakar perubatan yang
terlatih akan melakukan prosedur pacakan ini.
Menurut
beliau, kaedah kontraseptif yang berkesan 100 peratus menghalang kehamilan ini
juga bebas daripada sebarang kesan sampingan yang serius.
Malah,
katanya penggunaan kaedah ini juga sebagai penawar kepada wanita yang sering
kali mengalami senggugut ketika haid.
Penggunaan
kaedah yang telah pun diluluskan oleh Kementerian Kesihatan hanya sesuai
digunakan untuk wanita yang sudah berkahwin yang berumur tidak lebih 40 tahun.