'Dysmenorrhoea' adalah
kesakitan rasa kejang ketika datang haid yang biasanya dialami di bahagian
bawah abdomen dan kadangkala disertai dengan sakit belakang yang boleh menjalar
ke bahagian kaki. Ia juga boleh disertai dengan gejala-gejala seperti mual,
muntah dan penat.
Masalah senggugut biasanya
dialami oleh setiap wanita yang belum putus haid tetapi paling ketara kepada
mereka yang berusia antara 20 hingga 30 tahun, belum berkahwin serta sudah tua
atau tidak mempunyai anak.
* JENIS-JENIS
Terdapat dua jenis senggugut
iaitu Dysmenorrhoea Primer dan Dysmenorrhoea Sekunder.
1) DYSMENORRHOEA PRIMER
Kebanyakannya berlaku di
kalangan remaja yang baru mencecah umur baligh dan tiada sebab-sebab organik
tertentu yang menyebabkannya.
''Senggugut jenis ini akan
dirasai oleh seseorang itu sama ada sejurus sebelum datang haid dan pada hari
datang haid itu sendiri.
''Namun kebiasaannya kesakitan
akan berakhir selepas satu atau dua hari kedatangan haid,''.
Semasa kedatangan haid jenis
ini, seseorang itu akan merasa tertekan, bimbang dan tegang.
Terdapat beberapa teori yang
menerangkan bagaimana senggugut jenis ini berlaku.
Salah satu teori yang dikenal
pasti adalah peningkatan sejenis bahan yang terdapat di dalam rahim kita yang
dikenali sebagai 'Prostagladin'.
''Bahan ini bertindak sebagai
agen pengecut rahim dan salur darah dan apabila meningkat, ia mengakibatkan
rasa sakit setiap kali datang haid.
''Ketika didatangi haid, rahim
seseorang wanita itu akan menguncup supaya kesemua darah terbabit dapat ditolak
keluar.
'Bagaimanapun, jika tahap
kuncupan terlalu tinggi ia boleh menyebabkan kesakitan pada wanita itu pula,''
jelas beliau.
2) DYSMENORRHOEA SEKUNDER
Jenis kedua ini berlaku
disebabkan terdapatnya sebab-sebab organik yang boleh dikenal pasti.
Ia kebanyakannya berlaku
kepada wanita yang telah berumur dan tahap kesakitannya pula dirasai secara berperingkat-peringkat.
Kesakitan akan bermula
beberapa hari sebelum kedatangan haid tetapi ia akan bertambah secara
perlahan-lahan apabila haid bermula.
Kebanyakan kes yang
membabitkan jenis kedua ini adalah disebabkan oleh penyakit-penyakit berikut:
* Pelvic Inflammatory Disease
Ia adalah sejenis penyakit
pada organ peranakan wanita yang disebabkan oleh agen-agen jangkitan kuman
seperti kulat (fungus), bakteria, virus dan sebagainya.
* Penyakit Endometriosis
Penyakit ini berpunca daripada
lapisan dinding dalam rahim (endometrium) yang sepatutnya berada pada dinding
dalam rahim didapati berpindah ke bahagian lain anggota dalam peranakan wanita
lalu terus membiak di bahagian berkenaan. Sekiranya ia membiak di dalam kilang
ovari, maka ia dipanggil 'Endometriotic cyst' (Sista endometriosis).
* Ketumbuhan Dalam Kilang
Telur
Penyakit cyst kilang telur
sama ada ia barah atau tidak sering kali menyebabkan senggugut.
Bagaimanapun, ia banyak
bergantung kepada sejauh mana salur darah terbabit mengembang.
* Ketumbuhan Di Dalam Rahim
Ketumbuhan di dalam rahim
seperti fibroid sama ada kecil atau besar boleh mengakibatkan senggugut.
Ini berlaku berasaskan kepada
kuncupan rahim semasa haid yang lebih kuat dan terjadi kerana rahim cuba
mengeluarkan ketumbuhan ini bersama-sama darah haid.
* RAWATAN
Kedua-dua jenis senggugut ini
mempunyai rawatan tertentu tetapi bergantung kepada jenis diagnosa penyakit
yang menyebabkannya.
Rawatan yang dipilih pula
terdiri daripada rawatan secara perubatan dan pembedahan.
''Ia selalunya bergantung
kepada teruk atau tidak gejala yang dihadapi pesakit, umur, tahap kesuburan
pesakit (fertility), bilangan anak atau sama ada mereka merancang untuk tidak
mempunyai anak lagi atau tidak,'' .
Bagi kebanyakan kes jenis
'Dysmenorrhoea primer' rawatan secara perubatan adalah memadai.
Ini kerana mereka yang
menderita jenis pertama akan dilakukan pemeriksaan dengan teliti bagi
memastikan tiada sebab-sebab lain yang boleh mengakibatkannya.
Pesakit akan diberi kefahaman
tentang gejala dan penyakit tersebut.
''Ubat penahan sakit seperti
'Paracetamol', 'Mefenamic acid' dan 'Synflex' didapati berkesan untuk
mengurangkan rasa sakit.
''Namun begitu, kadangkala pil
perancang keluarga juga diberi kepada pesakit untuk menghentikan proses ovulasi
serta datang haid dan ini secara tidak langsung menghentikan rasa sakit ketika
datang haid,'' .
Bagi pesakit yang umurnya
lanjut dan merancang tidak mahu mempunyai anak lagi, tetapi menderita sakit
jenis pertama, pembedahan membuang rahim (hyterectomy) adalah disyorkan.
Rawatan bagi jenis kedua
banyak bergantung kepada sebab-sebab yang membawa kepada kesakitan itu sendiri.
''Pembedahan laparoscopy boleh
dilakukan untuk menentukan sebab dan jenis penyakit.
''Bagaimanapun, jika memilih
untuk mendapatkan rawatan perubatan, mereka diberikan ubat-ubatan seperti pain
killer, ponstan dan sebagainya untuk melegakan sakit,''
Rawatan pembedahan juga boleh
dilakukan dengan cara membedah rahim untuk mereka yang mendapat penyakit
ketumbuhan di dalam rahim dan merancang tidak mahukan anak lagi.
''Bagi pesakit yang mempunyai
ketumbuhan di dalam rahim tetapi masih mahukan anak, pembedahan mengeluarkan
fibroid (mayomectomy) adalah disarankan,''.
Beliau berkata, tahap sakit
senggugut adalah sesuatu yang subjektif bagi wanita dan ia pula memang dirasai
oleh hampir setiap wanita. Tambahnya, cara rawatan pula banyak bergantung
kepada pesakit itu dan jenis sakit yang dialami.
Sakit ini boleh diatasi oleh
wanita itu sendiri tetapi terdapat sesetengah kes memerlukan rawatan terperinci
untuk mengurangkan rasa sakit.
''Pada kesakitan di tahap
biasa, senaman boleh dilakukan untuk mengurangkan rasa sakit, tetapi jika jenis
yang kronik pula jalan terakhir adalah menjalani pembedahan.
''Bagaimanapun, ini banyak
bergantung kepada pesakit itu sendiri dan jenis penyakit yang dialami,'' .
No comments:
Post a Comment