Search This Blog

Saturday 19 January 2013

Ujian pap smear selamatkan wanita





TAHAP kesedaran wanita di negara ini terhadap bahaya penyakit kanser pangkal rahim semakin meningkat. Bagaimanapun, kesedaran yang ada pada diri mereka masih tidak mencukupi jika ia tidak disusuli dengan usaha untuk mencegah penyakit tersebut.

Kanser pangkal rahim boleh menyerang wanita tidak mengira usia khususnya kepada kaum Hawa yang mengamalkan gaya hidup seks bebas.

Memiliki pasangan yang gemar bertukar teman seks turut mendedahkan kaum wanita kepada risiko penyakit berkenaan.

Pegawai Perubatan Bahagian Reproduksi Manusia Lembaga Pembangunan Penduduk dan Keluarga Negara (LPPKN), Dr. Komathy Thiagarajan berkata, untuk memastikan seseorang wanita itu benar-benar bebas daripada penyakit kanser serviks atau barah pangkal rahim, mereka perlu menjalani ujian saringan pap smear secara berkala.

Ujian ini amat penting kepada wanita kerana hanya melalui pemeriksaan tersebut kita boleh memastikan sama ada wanita berkenaan benar-benar sihat dan tidak terdedah kepada kanser serviks, katanya ketika ditemui sewaktu menyampaikan ceramah mengenai Pencegahan Kanser Serviks anjuran LPPKN di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Menurutnya, ujian saringan pap smear mesti dilakukan ke atas wanita seawal usia 18 tahun sekiranya mereka telah mula terdedah kepada hubungan seksual.

Jelas beliau, bagi wanita yang baru hendak menjalani ujian saringan pap smear, mereka perlu melakukan ulangan pemeriksaan sekurang-kurangnya setahun sekali.

Sekiranya wanita terbabit didapati sihat pada ujian tahun berikutnya, dia hanya perlu menjalani pemeriksaan tiga tahun sekali, ujarnya.

Ketika ditanya apakah halangan sehingga menyebabkan bilangan wanita yang membuat ujian tersebut masih kurang, Dr. Komathy memberitahu, mungkin perasaan malu dan beranggapan ujian itu menyakitkan antara punca kaum wanita memilih untuk tidak melakukan ujian saringan pap smear.

Tambahnya, kalau setakat kesedaran yang wujud tinggi tetapi mereka tidak melakukan pemeriksaan juga tidak ada gunanya.

Mengulas mengenai wanita yang tidak pernah melakukan hubungan seks seumur hidup mereka, beliau berkata, wanita terbabit tidak perlu melalui ujian saringan tersebut.

Memang tidak saya nafikan ada segelintir doktor menyatakan semua wanita wajib melalui ujian saringan pap smear tetapi bagi saya ia tidak perlu, tegas beliau.

Penyakit

Menurutnya, ujian pap smear amat penting dilakukan bagi mengesan kanser pada peringkat awal supaya ia dapat dicegah sebelum penyakit itu menjadi bertambah serius.

Katanya lagi, pesakit boleh sembuh sepenuhnya jika kanser pangkal rahim dapat dikesan pada peringkat awal kerana ia boleh diubati.

Oleh itu, beliau memberitahu, adalah penting untuk menjalani pemeriksaan pap smear dengan kerap bagi mengesan prakanser serviks atau kanser pada peringkat yang boleh dirawat dengan paling berkesan.

Dr. Komathy berkata, kanser pangkal rahim biasanya berpunca daripada virus Human Papiloma (HPV) dan ia terjadi apabila sel-sel abnormal di dalam lapisan serviks mula membiak secara tidak terkawal sebagai tindak balas terhadap jangkitan HPV.

Jelas beliau, kanser pangkal rahim merupakan pembunuh kedua wanita selepas barah payu dara di negara ini.

Pada tahun 2003, 16.5 peratus daripada 100,000 wanita di Semenanjung Malaysia didapati menghidap penyakit tersebut.

Berdasarkan statistik, seorang wanita daripada 123 orang mendapat kanser tersebut dan sembilan dalam 100,000 wanita meninggal dunia akibat kanser pangkal rahim setiap tahun di seluruh dunia, ujarnya.

Sehubungan itu, beliau berkata, kaum wanita dinasihatkan agar mengamalkan gaya hidup sihat iaitu melakukan hubungan monogami jangka panjang dengan pasangan yang tidak memiliki masalah penyakit kelamin.

Menurutnya lagi, mengehadkan bilangan pasangan seks turut mengurangkan risiko wanita terdedah daripada masalah kanser pangkal rahim.

Satu lagi kita perlu ingat bahawa HPV biasanya tidak menampakkan gejala atau tanda, jadi sukar untuk mengetahui sama ada seseorang itu terkena jangkitan ataupun tidak, tegas beliau.

Tambahnya, penggunaan kondom juga boleh mengurangkan risiko jangkitan HPV, di samping sentiasa memastikan amalan hubungan seks yang sihat.

No comments:

Post a Comment