Search This Blog

Monday, 30 September 2013

Bayi Kuning @ Neonatal Jaundice

 
 
 
RAMAI ibu terutama yang baru saja melahirkan anak risau apabila bayi mereka mengalami jaundis. Terpaksa berulang-alik ke hospital untuk menjalani ujian darah sangat memenatkan. Lebih teruk apabila si ibu da...n bayi terpaksa ditahan di hospital kerana harus menjalani rawatan fototerapi.

Apa yang membuatkan keadaan bertambah kusut apabila orang di sekeliling mencadangkan agar menggunakan pelbagai kaedah tradisional seperti bayi diberi minum susu kambing, berjemur di bawah matahari, mandi dengan air kunyit atau herba sehingga si ibu sendiri keliru mana satu yang harus diikuti. Petua ini mungkin juga berguna, mungkin juga sebaliknya atau akan membuatkan keadaan bertambah teruk.

Rata-rata ibu percaya kaedah tradisional sangat membantu bagi mengurangkan masalah demam kuning di kalangan bayi. Ini kerana wujud tekanan atau rasa panik bagi ibu apabila bacaan jaundis pada bayi semakin meningkat. Ini ditambah dengan kurangnya ilmu pengetahuan mengenai jaundis yang dianggap masalah serius pada bayi.

Menurut Pakar Kardiologi Pediatrik, Hospital Perubatan Pantai, Dr Azam Mohd Nor, jaundis atau demam kuning di kalangan bayi adalah perkara normal.

Dianggarkan 60 hingga 70 peratus bayi baru lahir mengalami gejala ini.

“Jaundis merujuk kepada bayi yang mempunyai tanda seperti bahagian putih mata dan kulit yang berwarna kekuningan. Warna ini dapat dilihat dengan lebih jelas pada bahagian muka, dada, perut dan kaki apabila kulit bayi ditekan lembut dan akan bertukar kekuningan,” katanya.

Bagi ibu-ibu muda, Dr Mohd Azam menasihatkan supaya jangan risau sekiranya selepas dua hari dilahirkan bayi mengalami demam kuning kerana ini adalah fenomena biasa apabila darah pada bayi menjadi rosak, pecah dan dicernakan di dalam hati. Pencernaan dan penguraian komponen dalam darah ini akan menghasilkan bilirubin.

“Biasanya bilirubin akan dibuang melalui najis dan air kencing. Tetapi apabila terdapat terlalu banyak darah yang rosak dan pecah kemudian dihuraikan secara serentak dalam satu masa, tahap bilirubin dalam darah akan meningkat.
Peningkatan bilirubin inilah yang dapat dikesan melalui kekuningan pada tubuh bayi,” katanya.

Apa yang ibu bapa perlu tahu setiap bayi mempunyai tahap kuning berbeza dan akan mula dikesan pada hari kedua atau ketiga selepas kelahiran. Ia mula kelihatan dari kepala dan turun ke kaki. Jaundis akan kelihatan pada bahagian muka, diikuti dada, perut dan kaki.

“Pemeriksaan bayi untuk demam kuning biasanya boleh dibuat di dalam cahaya matahari atau di bawah lampu panjang putih (fluorescent) dan bukannya mentol kuning kerana ini akan menampakkan kulit bayi lebih kuning,” jelasnya. Biasanya bacaan bilirubin akan meningkat pada hari ketiga, kelima dan ketujuh.
Tahap bilirubin yang melebihi 85umo1/1 (5mg/dL) akan menunjukkan tanda kekuningan dan sekiranya meningkat kepada 100umo1/1 ia masih di dalam kawalan. Namun sekiranya dalam masa seminggu tahap bilirubin meningkat sehingga melebihi 340umo1/1 atau 21mg/dL, rawatan fototerapi akan diberikan.

“Bayi akan diletakkan di bawah lampu biru mengandungi 450 nano water dengan hanya memakai lampin dengan mata ditutup. Cahaya lampu ini berfungsi menukar bilirubin kepada biliverdin yang lebih ‘mesra tubuh’ dan akan dikumuhkan menerusi air kencing. Sekiranya rawatan fototerapi ini gagal menghalang daripada kenaikan tahap bilirubin sehingga mencecah 428umo1/1 atau 25mgd/L, rawatan pemindahan darah terpaksa dilakukan,” katanya.

Menurut Dr Azam, apabila pemindahan darah tidak dilakukan dan jaundis berlarutan sehingga 30 hari dikhuatiri bayi akan menghidap penyakit lain seperti radang hati, saluran darah tersumbat atau hepatitis. Lebih teruk sehingga menyebabkan kerosakan otak, sawan serta gangguan pendengaran.

Namun ibu bapa tidak perlu bimbang kerana kini, kes pemindahan darah amat jarang berlaku. Ini kerana pemantauan daripada pihak hospital menyebabkan tahap bilirubin dapat dikurangkan selepas seminggu kelahiran.

Secara saintifik, antara faktor paras bilirubin pada bayi normal meningkat disebabkan oleh:

• Bayi tidak diberikan susu ibu sepenuhnya.

• Jaundis lebih kerap berlaku di kalangan bayi pramatang atau tidak cukup bulan berbanding bayi cukup bulan. Ini kerana hati tidak dapat memproses bilirubin dengan cepat. Usus mungkin tidak berfungsi sepenuhnya, terutama jika mereka sakit dan tidak disusukan.

• Sel darah merah bayi mempunyai tempoh hayat yang lebih pendek dan pecah dengan cepat. Biasa berlaku bagi bayi yang mempunyai G6PD.

• Lebam pada badan bayi yang disebabkan proses kelahiran seperti kaedah vakum yang menyebabkan banyak sel darah merah rosak dan perlu diganti.

• Darah ibu dan bayi tidak sesuai.

• Ibu menghidap kencing manis.

• Penggunaan oxytocin ketika proses kelahiran.

• Bayi lelaki Asia mempunyai peratusan demam kuning yang lebih tinggi dan kerap berbanding bayi perempuan.


Ibu bapa perlu merujuk kepada doktor dengan segera sekiranya demam kuning dikesan dalam tempoh 24 jam selepas kelahiran yang membabitkan bahagian tangan dan kaki, atau bayi demam melebihi 37.8 darjah Celsius atau bayi kelihatan lemah dan tidak sihat. Ini kerana jaundis dianggap serius dan memerlukan rawatan rapi.

“Ia boleh disebabkan masalah yang serius pada hati, usus kecil dan kelainan intestinal, jangkitan atau kelahiran yang trauma atau kelahiran pramatang sebelum 28 minggu,” ujarnya.

Ramai ibu bapa gembira apabila melihat bayi mereka tidur lena selepas dilahirkan.

Namun menurut Dr Mohd Azam, tidur yang nyenyak dan berpanjangan sepanjang hari akan menyebabkan bilirubin meningkat.

“Ini kerana bayi tidak dapat menyusu dengan kerap. Sebaiknya kejutkan bayi untuk menyusu sekerap mungkin. Semakin banyak susu ibu diberikan ini akan menggalakkan pergerakan usus dan menyebabkan bilirubin dapat dikeluarkan daripada tubuh menerusi najis. Penyusuan yang bagus apabila bayi disusukan setiap tiga jam sekali atau lapan hingga 12 kali sehari,” katanya.

Bayi jaundis perlu dipastikan agar tidak mengalami kekeringan akibat pengambilan cecair yang tidak mencukupi. Namun ibu dinasihatkan tidak memberikan air masak kerana air ini tidak memberi sebarang tenaga dan kesan positif kepada bayi.

Selain itu, bayi yang tidak pandai menghisap, puting susu tenggelam, pembedahan Caesarean, penggunaan ubat penahan sakit dan bayi yang tidak matang dengan daya menghisap yang lemah akan mendorong kepada peningkatan bilirubin.

Terdapat juga jaundis susu ibu yang mengakibatkan kelewatan atau memanjangkan tempoh pembuangan lebihan bilirubin melalui usus. Biasanya bermula daripada minggu kedua dan akan hilang selepas beberapa minggu atau beberapa bulan kemudian. Walaupun mendapat susu mencukupi, bayi masih mendapat jaundis.

Jika kadar bilirubin terus meningkat, doktor mungkin menasihatkan untuk memberhentikan penyusuan badan selama dua atau tiga hari. Namun dalam masa ini, ibu dinasihatkan memerah susu bagi mengekalkan bekalan susu dan boleh meneruskan penyusuan apabila tahap bilirubin menurun.

Bagi menghasilkan susu ibu yang banyak serta berkualiti, ibu harus mendapatkan makanan berkhasiat dan seimbang supaya dapat menghasilkan susu yang banyak serta berkualiti. Paling penting, jangan risau atau tertekan kerana ini akan menyebabkan pengeluaran susu ibu merosot.

“Jangan sesekali memberikan susu formula pada bayi sebaik dilahirkan tetapi memberi lebih banyak rangsangan supaya bayi dapat menghisap dengan sempurna.
Dapatkan bantuan daripada pihak hospital mengenai teknik menyusu dengan betul serta cara merangsang proses pengeluaran susu,” nasihatnya.

Selain rawatan di hospital, terdapat pelbagai petua tradisional yang diamalkan ibu bapa. Sebaiknya ibu bapa jangan terus melakukannya tanpa mendapatkan pandangan daripada pakar terlebih dulu. Ini kerana ada antara amalan tradisional ini belum terbukti keberkesanannya. Antaranya:

Jemur bayi di bawah matahari

Ramai ibu percaya dengan menjemur bayi di bawah matahari dapat menghilangkan kekuningan. Namun ibu bapa harus memastikan melakukannya dalam waktu dibenarkan iaitu dari jam 8.30 pagi sehingga 9.30 pagi selama 10 hingga 15 minit saja.
Sekiranya bayi didedahkan terlalu lama, dikhuatiri akan menyebabkan masalah lain seperti kerosakan retina dan strok. Namun kebanyakan pakar perubatan tidak menggalakkannya kerana hanya cahaya lampu di hospital saja memberi kesan positif pada bayi.

Minum susu kambing

Memberi bayi minum susu kambing boleh memberi kesan kepada bayi. Ini kerana belum terdapat sebarang kajian menyatakan susu kambing mampu mengurangkan tahap bilirubin pada bayi. Malah pemberian yang keterlaluan akan menyebabkan masalah lain seperti cirit-birit atau radang usus.

Makan jamu dan halia

Banyak makan jamu yang tidak diketahui kandungan bahan kimia akan menyebabkan pengurangan enzim yang membantu dalam penyingkiran bilirubin apabila bayi disusukan. Begitu juga dengan halia yang boleh menyebabkan bilirubin meningkat.
Sebaiknya diambil dalam kadar sederhana saja.

Memberi air glukos pada bayi

Ramai mencadangkan supaya diberi air glukos kepada bayi bagi mengurangkan masalah demam kuning. Sebenarnya petua ini amat merbahaya kerana air glukos boleh menyebabkan perut kembung dan bilirubin tidak dapat dikeluarkan melalui najis.
See More 

Tuesday, 17 September 2013

Kelebihan Berkhatan



MUSIM cuti sekolah bakal tiba. Kanak-kanak melompat gembira kerana cuti persekolahan hujung tahun agak panjang. Berbagai rancangan telah diatur ibu bapa agar cuti kali ini memberi manfaat kepada anak-anak. Namun, sesete...ngah kanak-kanak lelaki mula gementar lutut apabila mereka diatur untuk berkhatan di musim cuti sekolah nanti.

Berkhatan adalah pembedahan kecil yang dilakukan bagi membuang kulit hujung (muncung) zakar. Tujuan utamanya ialah untuk menjaga kebersihan. Sebagai satu tuntutan agama, berkhatan adalah satu kebiasaan dalam masyarakat Islam di Malaysia. Prosedur ini dilakukan ketika kanak-kanak berumur antara lima hingga 12 tahun dan amat digalakkan ketika mereka berumur 10 tahun ke bawah bagi menghindar sifat malu dan mereka perlu bersih dari najis dan kekotoran sebelum mengerjakan solat lima waktu.

Kelebihan khatan

Kulit yang berlebihan pada hujung zakar mempunyai iklim yang amat sesuai untuk pertumbuhan kuman kerana ia sering cedera, lembap dan bersifat menakung. Ia menakung kotoran saki baki air kencing dan menghasilkan longgokan putih dan berbau busuk yang dikenali sebagai 'smegma'. Smegma ialah najis yang membatalkan air wuduk dan sembahyang. Smegma juga menjadi faktor penyebab jangkitan kuman pada zakar seperti phimosis, paraphimosis atau balanitis. Dalam keadaan yang serius, ia menyebabkan kesakitan yang teruk dan kesukaran membuang air kecil.

Kajian telah membuktikan bahawa bayi yang berkhatan mempunyai 10 kali lebih rendah kadar risiko jangkitan kuman salur kencing berbanding mereka yang tidak berkhatan. Jangkitan kuman salur kencing pada kanak-kanak kecil adalah serius kerana tanpa rawatan ia akan merosakkan fungsi buah pinggang dan mengakibatkan kuman tersebar ke seluruh tisu badan.

Berkhatan juga mampu mengurangkan risiko penyakit kanser terutama kanser zakar, prostat, serta kanser serviks (pangkal rahim) dan payudara kepada wanita. Telah dibuktikan bahawa kuman yang dinamakan Human Papilloma Virus (HPV) adalah antara faktor pencetus kanser serviks di kalangan wanita. Kuman ini didapati berlindung di bawah kulit hujung zakar dan dipindahkan kepada wanita semasa persetubuhan. Terdapat kajian menunjukkan jika semua lelaki berkhatan, maka sebanyak 20 peratus kadar kejadian kanser serviks boleh dielakkan. Virus sama juga boleh mencetuskan kanser payudara.

Kajian pemerhatian turut menunjukkan risiko kanser zakar rendah di kalangan mereka yang berkhatan, lebih-lebih lagi bagi mereka yang berkhatan pada umur kurang dari satu tahun. Hasil dari kajian ini, ramai orang bukan Islam juga mengamalkan khatan. Kajian di beberapa negara Eropah menunjukkan lelaki yang berkhatan mempunyai kadar risiko kanser prostat dua kali lebih rendah. Kejadian kanser ini ada hubung kait dengan penyakit kelamin di mana lelaki berkhatan mempunyai risiko yang rendah untuk mendapat penyakit tersebut.

Pada 28 Mac 2007, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengeluarkan kenyataan penting berkenaan kaedah pencegahan kuman HIV. Kenyataan itu berbunyi, 'kajian saintifik telah membuktikan tanpa sebarang keraguan bahawa lelaki berkhatan mengurangkan kadar perpindahan kuman virus HIV kepada wanita atau isteri. Seeloknya, berkhatan dilakukan sewaktu berumur lebih kurang satu tahun kerana kadar risiko dan komplikasi prosedur lebih rendah'. Berkhatan juga telah mula diamalkan di negara yang berisiko tinggi akan jangkitan HIV seperti di beberapa buah negara di benua Afrika.

Kesediaan anak

Adakah anak-anak anda bersedia untuk dikhatankan? Sebagai ibu bapa, amat penting bagi kita memastikan fizikal dan minda anak kita sihat sebelum berkhatan. Ia dapat mengurangkan komplikasi. Kanak-kanak berada di dalam ketakutan bila mana ayah dan ibu menyuruh mereka berkhatan. Prosedur lebih mudah apabila kanak-kanak tersebut berada dalam keadaan tenang dan faham apa yang akan dilakukan oleh doktor kepada mereka. Maklumat yang tidak tepat menyebabkan ada kanak-kanak menjerit semasa prosedur dijalankan, malah ada yang cabut lari.

Minda kanak-kanak lelaki perlu dipersiapkan terlebih dahulu sebelum prosedur dapat dilakukan dengan mudah dan selamat. Berilah asuhan agama yang mendalam kepada mereka. Terangkan kenapa berkhatan digalakkan dalam agama Islam. Beritahu mereka kelebihan berkhatan. Membawa kanak-kanak lelaki ke majlis kenduri berkhatan adalah cara yang baik. Ia memberi idea kepada kanak-kanak tersebut betapa pentingnya berkhatan. Kadang kala, kita perlu menjanjikan benda kesukaan mereka seperti alat permainan komputer atau basikal jika mereka bersetuju berkhatan. Ianya bukanlah rasuah tetapi sekadar pemudah cara.

Andai anak lelaki anda bersetuju untuk berkhatan, maka bawalah mereka berjumpa doktor atau mereka yang bertauliah. Anak anda perlu diperiksa oleh doktor bagi mengetahui tahap kesihatan dan juga bagi menghindarkan komplikasi prosedur tersebut. Doktor perlu mengetahui dan memastikan zakar anak anda normal, anak anda tiada penyakit hemofilia (penyakit gangguan pembekuan darah), tidak mengambil ubat yang boleh mengakibatkan pendarahan seperti aspirin atau warfarin, tidak menghidap penyakit jantung reumatik dan penyakit lain seperti kencing manis, sawan, asma dan alahan. Kanak-kanak yang mempunyai masalah sebegini akan dirujuk kepada doktor pakar bedah bagi menentukan kaedah berkhatan yang sesuai dan selamat.

Prosedur

Bagi kanak-kanak yang normal dan sihat, pembedahan 'dorsal slit' adalah kaedah berkhatan pilihan Kementerian Kesihatan kerana ia mudah dan selamat. Kaedah-kaedah menggunakan peralatan moden seperti Tara Klamp atau Smart Klamp juga boleh digunakan. Walaubagaimanapun, kaedah ini hanya dilakukan di klinik atau hospital swasta kerana kosnya adalah lebih tinggi berbanding kaedah pembedahan di hospital atau klinik kerajaan.

Pada pagi sebelum ke hospital atau klinik, pastikan anak anda mandi dan beri penekanan kepada kebersihan zakar. Sebelum prosedur dilakukan, pastikan anak anda sudah membuang air besar atau kecil agar tiada sebarang masalah semasa prosedur dilakukan.

Selepas mendaftar dan borang keizinan prosedur ditandatangani, anak anda akan dimasukkan ke bilik pembedahan kecil. Anda boleh menemani anak anda dengan syarat segala prosedur bilik bedah diikuti. Sebelum prosedur, kawasan sekeliling zakar dibersihkan menggunakan bahan pembunuh kuman (disinfektan). Ia untuk memastikan kuman sekeliling tidak menjangkiti luka khatan kelak.

Ubat bius setempat diberikan agar anak anda tidak merasa sakit sepanjang prosedur. Malangnya suntikan ubat bius kali pertama sedikit menyakitkan. Sebaik sahaja anak anda mengatakan tidak sakit selepas kulit zakar mereka dikepit, maka doktor akan memulakan pembedahan. Untuk makluman semua, ubat bius hanya menghilangkan kesakitan. Anak anda masih boleh merasa zakar mereka disentuh dan dikhatankan.

Sebahagian kanak-kanak menganggap sentuhan gunting itu menyakitkan. Mereka akan menjerit kesakitan walaupun hakikatnya zakar mereka sudah kebas. Kanak-kanak sebegini akan diberikan ubat tidur atau ubat penenang. Pembedahan kecil ini kebiasaannya memakan masa antara 30 hingga 45 minit, bergantung kepada berlakunya komplikasi atau tidak.

Pemulihan

Selepas prosedur siap, zakar akan dibalut sedikit ketat bagi mengelakkan pendarahan dan mengurangkan bengkak. Anak anda akan dimasukkan ke tempat khas untuk memastikan tiada pendarahan selepas prosedur dan dibenarkan pulang selepas pendarahan dan kesakitan terkawal. Ubat penahan sakit (seperti paracetamol) dan antibiotik dibekalkan untuk lima hari berikutnya. Anak anda dinasihatkan agar mengelakkan pergerakan cergas dalam jangkamasa 24 jam selepas berkhatan.

Selepas prosedur, zakar anak anda akan membesar dan lebam. Jangan risau, keadaan ini adalah normal. Ia akan beransur sembuh dalam satu atau dua minggu. Peringatan! Ibu bapa diarahkan membawa anak mereka ke hospital dengan segera jika berlakunya pendarahan atau zakar membengkak luar biasa. Doktor akan membuat pemeriksaan dan jika perlu zakar anak anda akan dibius sekali lagi bagi membolehkan doktor mencari punca pendarahan dan menghentikannya.

Penggunaan krim berubat untuk mencegah jangkitan kuman tidak digalakkan kerana bahan ini kebanyakannya menghakis pertumbuhan tisu baru dan ini melambatkan proses penyembuhan. Cara mudah untuk mengelakkan jangkitan ialah dengan merendamkan zakar anak anda ke dalam air suam yang sudah dimasak dan diisi satu sudu garam selama 10 hingga 15 minit berulangkali setiap hari sehingga luka betul-betul sembuh.

Sakit selepas berkhatan adalah fenomena yang normal. Kadar kesakitan adalah subjektif bergantung kepada persepsi kanak-kanak tersebut. Sebahagian daripada mereka tidak merasa sakit tetapi sebahagian pula mungkin melolong kesakitan. Jika ubat penahan sakit diperlukan, sila ikut nasihat doktor. Berlebihan dos atau kekerapan mengambil ubat tanpa panduan doktor boleh membahayakan nyawa anak anda. Sebagai contoh, berlebihan mengambil dos paracetamol mengakibatkan kerosakan hati dan kes sebegini telah beberapa kali berlaku di negara kita. Berjumpalah dengan doktor jika kesakitan tidak terkawal dengan dos ubat yang diberikan.

Jangan risau berkenaan benang jahitan pada luka zakar anak anda. Ia akan diserap dalam jangkamasa dua minggu. Jika luka telah sembuh dan benang masih wujud, dapatkan khidmat doktor untuk membuangnya. Membiarkan benang terlalu lama mengakibatkan wujudnya lubang-lubang kecil pada kulit zakar. Ia menyebabkan ketidakselesaan atau kesakitan semasa persetubuhan apabila mereka dewasa dan berkahwin kelak.

Kesimpulannya, berkhatan adalah pembedahan kecil yang amat digalakkan kerana terdapat pelbagai kebaikan yang telah dibuktikan oleh kajian saintifik. Persediaan fizikal dan minda amat penting kepada anak anda agar prosedur yang dijalankan selamat dan anak anda akan sembuh dengan cepat. Nasihat saya, jika terdapat sebarang masalah selepas berkhatan, segera dapatkan nasihat doktor agar ianya tidak melarat. Wallahualam.

Petikan dari Utusan Malaysia


© Utusan Melayu (M) Bhd
See More


Saturday, 19 January 2013

Ujian pap smear selamatkan wanita





TAHAP kesedaran wanita di negara ini terhadap bahaya penyakit kanser pangkal rahim semakin meningkat. Bagaimanapun, kesedaran yang ada pada diri mereka masih tidak mencukupi jika ia tidak disusuli dengan usaha untuk mencegah penyakit tersebut.

Kanser pangkal rahim boleh menyerang wanita tidak mengira usia khususnya kepada kaum Hawa yang mengamalkan gaya hidup seks bebas.

Memiliki pasangan yang gemar bertukar teman seks turut mendedahkan kaum wanita kepada risiko penyakit berkenaan.

Pegawai Perubatan Bahagian Reproduksi Manusia Lembaga Pembangunan Penduduk dan Keluarga Negara (LPPKN), Dr. Komathy Thiagarajan berkata, untuk memastikan seseorang wanita itu benar-benar bebas daripada penyakit kanser serviks atau barah pangkal rahim, mereka perlu menjalani ujian saringan pap smear secara berkala.

Ujian ini amat penting kepada wanita kerana hanya melalui pemeriksaan tersebut kita boleh memastikan sama ada wanita berkenaan benar-benar sihat dan tidak terdedah kepada kanser serviks, katanya ketika ditemui sewaktu menyampaikan ceramah mengenai Pencegahan Kanser Serviks anjuran LPPKN di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Menurutnya, ujian saringan pap smear mesti dilakukan ke atas wanita seawal usia 18 tahun sekiranya mereka telah mula terdedah kepada hubungan seksual.

Jelas beliau, bagi wanita yang baru hendak menjalani ujian saringan pap smear, mereka perlu melakukan ulangan pemeriksaan sekurang-kurangnya setahun sekali.

Sekiranya wanita terbabit didapati sihat pada ujian tahun berikutnya, dia hanya perlu menjalani pemeriksaan tiga tahun sekali, ujarnya.

Ketika ditanya apakah halangan sehingga menyebabkan bilangan wanita yang membuat ujian tersebut masih kurang, Dr. Komathy memberitahu, mungkin perasaan malu dan beranggapan ujian itu menyakitkan antara punca kaum wanita memilih untuk tidak melakukan ujian saringan pap smear.

Tambahnya, kalau setakat kesedaran yang wujud tinggi tetapi mereka tidak melakukan pemeriksaan juga tidak ada gunanya.

Mengulas mengenai wanita yang tidak pernah melakukan hubungan seks seumur hidup mereka, beliau berkata, wanita terbabit tidak perlu melalui ujian saringan tersebut.

Memang tidak saya nafikan ada segelintir doktor menyatakan semua wanita wajib melalui ujian saringan pap smear tetapi bagi saya ia tidak perlu, tegas beliau.

Penyakit

Menurutnya, ujian pap smear amat penting dilakukan bagi mengesan kanser pada peringkat awal supaya ia dapat dicegah sebelum penyakit itu menjadi bertambah serius.

Katanya lagi, pesakit boleh sembuh sepenuhnya jika kanser pangkal rahim dapat dikesan pada peringkat awal kerana ia boleh diubati.

Oleh itu, beliau memberitahu, adalah penting untuk menjalani pemeriksaan pap smear dengan kerap bagi mengesan prakanser serviks atau kanser pada peringkat yang boleh dirawat dengan paling berkesan.

Dr. Komathy berkata, kanser pangkal rahim biasanya berpunca daripada virus Human Papiloma (HPV) dan ia terjadi apabila sel-sel abnormal di dalam lapisan serviks mula membiak secara tidak terkawal sebagai tindak balas terhadap jangkitan HPV.

Jelas beliau, kanser pangkal rahim merupakan pembunuh kedua wanita selepas barah payu dara di negara ini.

Pada tahun 2003, 16.5 peratus daripada 100,000 wanita di Semenanjung Malaysia didapati menghidap penyakit tersebut.

Berdasarkan statistik, seorang wanita daripada 123 orang mendapat kanser tersebut dan sembilan dalam 100,000 wanita meninggal dunia akibat kanser pangkal rahim setiap tahun di seluruh dunia, ujarnya.

Sehubungan itu, beliau berkata, kaum wanita dinasihatkan agar mengamalkan gaya hidup sihat iaitu melakukan hubungan monogami jangka panjang dengan pasangan yang tidak memiliki masalah penyakit kelamin.

Menurutnya lagi, mengehadkan bilangan pasangan seks turut mengurangkan risiko wanita terdedah daripada masalah kanser pangkal rahim.

Satu lagi kita perlu ingat bahawa HPV biasanya tidak menampakkan gejala atau tanda, jadi sukar untuk mengetahui sama ada seseorang itu terkena jangkitan ataupun tidak, tegas beliau.

Tambahnya, penggunaan kondom juga boleh mengurangkan risiko jangkitan HPV, di samping sentiasa memastikan amalan hubungan seks yang sihat.