Search This Blog

Sunday, 8 April 2012

Kutu Rambut : Kutu sukakan kepala bersih?





GARU, garu, garu. Kepala anda rasa sungguh gatal. Mungkinkah ia bahana kutu? Jika demikian, anda tidak keseorangan.
 Setiap tahun, dianggarkan antara enam juta hingga 12 juta orang manusia di seluruh dunia dijangkiti oleh kutu kepala. Rata-ratanya adalah kanak-kanak.
 Di sekolah, ia boleh berjangkit dengan begitu mudah sekali. Jika seorang murid mempunyai kutu, boleh dikatakan seluruh kelas akan turut dijangkiti olehnya.
 Kutu tidak termasuk dalam kategori bahaya, ia juga tidak menularkan penyakit. Namun, kutu sangat mudah berjangkit dan boleh menyebabkan rasa tidak selesa yang teramat sangat.
 Gigitannya boleh menyebabkan kulit kepala seseorang berasa sangat gatal. Kesan garu yang berterusan bukan sahaja boleh mengakibatkan keradangan kulit, malahan jangkitan.
 Jika anda beranggapan bahawa kutu gemarkan kepala seseorang yang kotor sebagai rumahnya, anda salah kerana kutu sukakan semua orang sama rata termasuklah kepala terbersih di dunia.
 Kutu kepala bukanlah satu petunjuk bahawa seseorang itu tidak menjaga kebersihan dirinya dan boleh diklasifikasikan sebagai pengotor.
Malah, anda mungkin terkejut jika mengetahui bahawa kutu sangat menyukai kepala dengan rambut pendek, lurus dan bersih. Kenapa? Kerana ia memudahkan laluan kutu ke kulit kepala.
Pun begitu, fakta ini bukanlah bermakna seseorang itu boleh mengabaikan penjagaan kebersihan kulit kepala mereka sama sekali.
 Apa itu kutu kepala
 Kutu merupakan serangga parasit - yang tinggal menumpang di atas kehidupan lain seperti kepala manusia, sangat halus dan sukar dilihat (lebih kurang saiz bijan atau dua hingga empat milimeter) dan mempunyai enam kaki kecil dengan kuku khas seperti penyangkut yang memegang kuat rambut.
 Ia juga tidak bersayap. Memandangkan kutu kepala sangat mudah berjangkit, sesetengah orang menganggapnya boleh terbang.
Air liur kutu yang dicucukkan kepada kulit kepala ketika menghisap darah memberikan sensasi gatal dan proses ini boleh berlaku sehingga lima kali sehari.
Penting untuk anda mengetahui bahawa seseorang itu berisiko mendapat jangkitan kali kedua akibat menggaru kepala disebabkan oleh rasa gatal itu.
 Apabila kutu mulai hidup di dalam helaian rambut, ia juga mula mengeramkan telur. Secara puratanya, kanak-kanak boleh `membela' di antara 10 hingga 20 ekor kutu dewasa.
 Kutu boleh hidup sehingga 30 hari di atas kepala manusia (kutu kepala tidak boleh hidup atau menumpang binatang seperti kucing dan anjing) dan boleh mengeramkan sebanyak lapan biji telur sehari.
 Kutu dewasa melekatkan telur-telur mereka yang berwarna kelabu keputih-putihan dan berbentuk bujur pada helaian rambut, berhampiran dengan kulit kepala. Ada ketikanya ia kelihatan seperti kelemumur.
 Sebaik ia menetas, nimfa atau anak-anak kutu baru akan keluar. Walaupun tidak boleh mencederakan namun ada ketikanya ia boleh menyebabkan keradangan kulit dan menimbulkan rasa gatal, apatah lagi pada sebelah malam.
Prevalens serangan kutu
Kutu kepala sudah menjangkiti manusia sejak berjuta tahun lamanya tidak kira di negara-negara membangun mahupun maju.
 Kekerapannya boleh berbeza-beza dari 2.4 peratus di England kepada 4.6 peratus (Arizona, Amerika Syarikat), 41.3 peratus (India) dan 10.7 peratus (Malaysia).
 Insidennya paling ketara di kalangan kanak-kanak sekolah, terutama sekali yang berusia dalam lingkungan tujuh hingga 10 tahun.
 Kadar kelaziman serangan kutu kepala di Malaysia tidak pernah merosot. Malahan, epidemik dilaporkan di beberapa kawasan bergantung kepada tahap kesedaran penduduk sekitar itu.
 Di kalangan kanak-kanak sekolah kawasan pedalaman, kekerapannya adalah jauh lebih tinggi iaitu 41.5 peratus berbanding kadar purata nasional, 10.7 peratus.
 Sekalipun kanak-kanak yang datang dari sosioekonomi lebih rendah mempunyai kadar serangan yang lebih tinggi, namun, semua orang boleh dijangkiti oleh kutu kepala tanpa mengira tahap kebersihannya.

Bagaimana ia berjangkit?
Kutu tidak boleh melompat atau terbang seperti tanggapan sesetengah orang tetapi ia boleh merangkak dengan cukup laju.
 Ia sangat mudah merebak menerusi sentuhan fizikal kepala ke kepala terutamanya di kawasan yang sesak seperti sekolah, kem dan pusat penjagaan kanak-kanak harian.
Justeru, tidak hairanlah jika masalah kutu lebih lazim ditemui di kalangan kanak-kanak berusia antara empat hingga lapan tahun.
 Kadangkala, ia juga boleh berlaku melalui perkongsian tuala, pakaian, topi, tilam, bantal mahupun sikat. Jika kutu terlekat pada salah satu barangan di atas dan ia kemudiannya menyentuh kepala orang lain, orang tersebut juga boleh dijangkiti.
 Walaupun kutu kepala selalunya menyebabkan kulit kepala seseorang berasa gatal, tidak mustahil seseorang itu tidak menunjukkan sebarang gejala apabila dijangkiti.
 Gejala serangan kutu
Ø  Terasa seperti ada sesuatu yang merayap-rayap di atas kepala
Ø  Gatal, disebabkan oleh tindak balas alahan gigitan kutu, dan mula menggaru
Ø  Mudah marah
Ø  Kudis di atas kepala disebabkan oleh kerap menggaru. Ada kalanya, kudis ini boleh berjangkit.
 Di manakah kutu biasanya ditemui?
ü  Kulit kepala
ü  belakang telinga
ü  belakang leher.

Implikasi kutu kepala
 Kutu memberikan ketidakselesaan, membuatkan seseorang berasa tidak sihat sekali gus menjejaskan kerja-kerja mereka.
 Di kalangan kanak-kanak, kegatalan pada waktu malam mengganggu tidur mereka, seterusnya turut mempengaruhi tumpuan di dalam bilik darjah.
 Dalam masa yang sama, ia turut memberikan kesan terhadap tumbesaran dan proses pembelajaran kanak-kanak.
 Terdapat juga risiko jangkitan kedua akibat kegatalan dan menggaru kulit kepala secara berterusan.
Untuk itu, rawatan kutu kepala ditujukan kepada empat bidang iaitu kebersihan, kutu, telur kutu dan jangkitan kedua.
  Rawatan sedia ada
Memandangkan kutu boleh merebak dengan begitu mudah dan cepat, adalah penting untuk merawatnya dengan betul dan menyeluruh.
 Pada masa dahulu, minyak tanah digunakan untuk membunuh kutu kepala. Namun begitu ia mengundang bahaya kerana boleh terbakar.
 Terdapat juga beberapa jenis racun serangga yang boleh digunakan untuk merawat masalah kutu kepala ini. Gamma benzene hexachloride dan Malathion merupakan rawatan kutu kepala paling berkesan.
 Bagaimanapun, Gamma benzene hexacloride telah diharamkan di beberapa negara kerana dikaitkan dengan keradangan sistem saraf pusat.
 Syampu Malathion didapati berkesan menghapuskan kutu kepala dan telur-telurnya selepas 10 minit disapukan ke kepala tanpa sebarang kesan sampingan.
 Kadar penyembuhan kutu kepala mencapai 95.5 peratus.
  Memperkenalkan A-LICES
 Malathion digunakan sebagai bahan aktif utama di dalam penghasilan A-LICES yang berupaya membunuh kedua-dua kutu dewasa dan telur-telurnya selepas 10 minit pemakaian.
Didatangkan dalam bentuk syampu, ia bukan sahaja selamat dan efektif tetapi juga mudah digunakan. Tiga langkah mudah adalah:
Langkah 1: Basahkan rambut dan syampu kepala menggunakan A-LICES
Langkah 2: Tunggu selama 10 minit
Langkah 3: Bersihkan kepala serta kulit kepala
A-LICES tidak memerlukan preskripsi doktor dan boleh didapati di kaunter-kaunter farmasi.