Search This Blog

Sunday, 22 January 2012

Obesiti di kalangan Rakyat Malaysia



Tentu  ramai bersetuju bahawa orang Malaysia makan mengikut selera. Apa sahaja makanan yang sedap akan diambil tanpa memikirkan kesan pada kesihatan. Malah ramai juga yang berpegang pada falsafah, 'hidup hanya sekali dan makanlah selagi ada selera sebab jika sudah sakit, semuanya tidak boleh dimakan'. Pepatah 'mencegah lebih baik daripada mengubati' tidak dihiraukan sehingga timbul falsafah baru, 'dulu orang mati tak cukup makan, sekarang mati sebab berlebih makan'. Makan mengikut selera bukan sahaja boleh menyebabkan pelbagai jenis penyakit malah menjadikan ramai di kalangan rakyat Malaysia gemuk atau obesiti. Sebab itu tidak menghairankan apabila kajian menunjukkan juah penduduk negara ini yang mengalami obesiti semakin membimbangkan dan menjadi punca masalah kesihatan di Malaysia.  
Bukan saja di kalangan orang dewasa, malah lebih teruk menular di kalangan kanak-kanak dan remaja yang rata-rata dilanda masalah kesihatan adalah disebabkan oleh obesiti.  Akibatnya kes-kes penyakit kronik meningkat di kalangan rakyat negara ini.
Salah satu daripada sebab kepada masalah ini ialah kegemaran kanak-kanak, remaja malah dewasa terhadap makanan segera. Makanan segera seakan-akan telah menjadi budaya dan kebanggaan mereka yang menikmatinya daripada sarapan pagi, makan tengah hari dan malam. Budaya makan makanan segera yang sebahagian besarnya datang dari negara luar hakikatnya tidak sesuai dengan budaya kita. Ini kerana makanan segera lazimnya berkalori tinggi yang mungkin menjadi keperluan penduduk negara sejuk tetapi bukan di Malaysia. Ibu bapa harus memainkan peranan mendidik anak-anak agar tidak bergantung kepada makanan segera. Nikmati makanan yang dimasak sendiri di rumah kerana kita dapat mengawal kandungan kalori, lemak dan sebagainya di dalam makanan.
Satu lagi punca obesiti tanpa disedari ialah budaya atau tabiat suka makan pada waktu malam. Restoran dan gerai-gerai yang berselerak di Kuala Lumpur yang dibuka 24 jam membuatkan ramai yang menghabiskan waktu santai mereka makan dan minum sehingga lewat malam. Memetik kata-kata mantan Menteri Luar, Tan Sri Syed Hamid Albar yang pernah penulis temui tidak lama dulu, banyak negara yang telah dikunjunginya dan puas mengelilingi dunia, tiada negara yang restoran atau gerai makan yang dibuka 24 jam kecuali Malaysia. Penduduk negara ini memang bertuah kerana boleh makan 24 jam atau lebih tepat jika dikatakan Malaysia sebagai syurga makanan.
Keistimewaan ini juga yang menarik ramai pelancong ke negara ini kerana mereka boleh makan sehingga lewat malam. Lebih bertuah mereka yang sememangnya tidak boleh tidur malam lantas menghabiskan masa dengan makan-makan di restoran mamak 24 jam atau gerai yang menjual bermacam-macam jenis makanan yang enak. Tetapi yang buruknya, kadar metabolisme kita rendah pada waktu malam. Ini membuatkan lemak lebih mudah berkumpul. Kebanyakan restoran 24 jam menjual makanan yang tinggi kandungan lemak, kalori dan kolesterol.
Contohnya sekeping roti canai mengandungi  301 kalori, roti telur ( 356 kalori), capati (300 kalori), mi goreng (281 kalori) dan ayam goreng (255 kalori).


Banyak yang harus diubah seperti diet yang tidak seimbang dan tabiat makan pada waktu malam. Pada masa lalu, kebiasaannya orang makan dua kali sehari, iaitu tengah hari dan malam. Tetapi pada hari ini, kebanyakannya makan lima hingga enam kali sehari termasuk makan lewat malam di kedai Mamak.
Presiden Persatuan Kajian Obesiti Malaysia, Prof. Dr. Mohamad Ismail Noor berkata, gejala obesiti yang tidak dibendung boleh melemahkan struktur masyarakat kerana sebahagian besar generasi muda yang gemuk tidak aktif dan berpenyakit.  Justeru katanya, obesiti mesti ditangani secepat mungkin sebelum semakin ramai rakyat Malaysia mengalaminya. "Obesiti boleh menyebabkan perubahan dalam sistem enzim dan hormon tubuh dan memberikan kesan negatif pada kesihatan. "Pelbagai penyakit kronik seperti darah tinggi, kencing manis, sakit buah pinggang, jantung serta menjejaskan sistem reproduksi berpunca daripada obesiti," katanya.
Statistik menunjukkan obesiti di kalangan orang dewasa negara ini meningkat mendadak kepada 250 peratus pada tempoh 10 tahun lalu daripada 1996. Sementara itu, jumlah mereka yang mengalami kegemukan turut bertambah kepada 70 peratus. Kajian Morbiditi dan Kesihatan Kebangsaan 2006 pula menunjukkan dua daripada setiap lima orang dewasa atau 43 peratus mengalami sama ada kegemukan atau obesiti.  Lebih membimbangkan jumlah dewasa obes  bertambah lebih tiga kali ganda lebih sedekad lalu, daripada empat peratus pada tahun 1996 kepada 14 peratus pada 2006. Selain itu, kira-kira 38 peratus daripada remaja yang berumur di antara 12 hingga 18 tahun diklasifikasikan sebagai terlebih berat. Kajian yang dilakukan baru-baru ini terhadap 10,000 orang pelajar menunjukkan 24 peratus yang berumur di antara enam tahun hingga 12 tahun terlebih gemuk atau obesiti.
Bagi membendung masalah obesiti yang semakin membimbangkan di negara ini, Kementerian Kesihatan akan menempatkan kira-kira 300 pakar pemakanan di klinik kerajaan terpilih secara berperingkat bagi memberi kaunseling mengenai obesiti. Kerajaan benar-benar memandang serius masalah obesiti di kalangan rakyat dengan menubuhkan Majlis Cegah Obesiti Malaysia (Mcom) baru-baru ini. Dr. Mohamad berkata, masalah obesiti di Malaysia berada pada tahap membimbangkan bagi semua peringkat umur.
Terdapat dua punca utama yang dikesan menyebabkan kepada masalah obesiti, iaitu makan berlebihan dan kurang bersenam. Terdapat juga kes kegemukan yang disebabkan oleh kes keadaan kesihatan seperti masalah endokrin dan pengambilan ubat-ubatan atau dadah tertentu. ''Kajian yang dilakukan mendapati masyarakat kita tidak suka bersenam kerana menganggap senaman tidak penting dan tidak ada alasan untuk mereka bersenam. ''Banyak faedahnya bersenam kerana badan akan menjadi sihat dan kuat serta menjauhkan daripada pelbagai penyakit.  "Dengan bersenam, kita dapat membina kekuatan otot, meningkatkan keupayaan badan mengawal paras glukosa darah, membantu mengawal lipid darah yang tidak normal, menguatkan tulang dan melambatkan proses osteoporosis. ''Selain itu, tidak banyak tempat untuk beriadah, kes ragut, rogol, bunuh dan sebagainya menghalang orang untuk keluar bersenam lebih-lebih lagi selepas Subuh di mana sekeliling masih gelap.


''Tidak ramai yang mampu untuk ke kelab kesihatan atau membeli peralatan untuk diletakkan di rumah.  "Sebenarnya banyak aktiviti yang boleh dilakukan di rumah bagi mengeluarkan peluh seperti menari, mengemas rumah, berkebun dan mencuci kereta. Aktiviti seperti ini juga dapat membantu menguatkan otot-otot. ''Kerajaan mempunyai banyak perancangan untuk memberikan kemudahan kepada masyarakat seperti menyediakan lebih banyak tempat beriadah tetapi amat sukar untuk melaksanakan kerana kekurangan peruntukan.
''Sebenarnya banyak cara untuk bersenam. Berjalan kaki juga salah satu daripada jenis senaman. "Tetapi orang kita terlalu bergantung kepada kereta, hendak pergi kedai yang dekat pun hendak naik kereta. Hendak pergi tingkat satu pun nak naik lif. Mereka tidak mahu naik tangga sedangkan itu adalah senaman yang baik, mudah dan ringkas ,'' ujar Prof Mohamad Ismail lagi. Beliau menambah, setiap orang harus mengubah cara pemikiran mereka mengenai obesiti.
Ramai yang memandang remeh dan tidak takut pada obesiti kerana pada mereka obesiti tidak membunuh. Tetapi H1n1 membunuh dan mereka amat takut kepada penyakit-penyakit seperti ini. Bagaimanapun katanya, jika seseorang itu telah obesiti maka ia akan selama-lamanya begitu. Banyak kajian yang dilakukan di Amerika Syarikat dan Eropah mengenai obesiti namun tidak banyak yang boleh dilakukan untuk menanganinya.
Petikan dari:
BULETIN KESIHATAN : Budaya Makan Malam Punca Obesiti
Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang


Monday, 16 January 2012

Penyusuan Susu Ibu



Semua ibu digalakkan menyusui anaknya dengan susu ibu sahaja dari lahir sehingga  berumur 6 bulan dan meneruskannya sehingga mencapai umur 2 tahun

Kebaikan Susu Ibu (Untuk Bayi)

1. Susu ibu adalah makanan terbaik untuk bayi

                ia mengandungi kesemua nutrien yang diperlukan untuk tumbesaran dan perkembangan otak bayi, mudah hadam, sentiasa tersedia pada suhu yang tetap, bayi yang menyusu susu ibu sepenuhnya dari lahir sehingga 6 bulan yang pertama mempunyai tumbesaran yang baik dan sihat .

2. Susu ibu memberi perlindungan kepada bayi

kolostrum, susu ibu permulaan yang dikeluarkan pada hari pertama sehingga ke hari ketiga mengandungi antibodi (IgA) yang dapat melindungi bayi daripada jangkitan kuman dan alahan. Mengurangkan risiko pencemaran dibandingkan dengan penyusuan secara lain

Kebaikan Susu Ibu (Untuk Ibu)

ü  Mengeratkan kasih sayang antara ibu dan anak
ü  Membantu mengecutkan rahim dan mengelakkan tumpahan darah
ü  Mengurangkan risiko mendapat kanser payudara dan ovari
ü  Mempercepatkan proses pengurangan berat badan jika disertai dengan senaman
ü  Penyusuan ibu sepenuhnya boleh menjarakkan kehamilan

Kepentingan Penyusuan Susu Ibu Sebaik Sahaja Dilahirkan

Sebaik sahaja bayi dilahirkan anda patut memegang bayi anda dengan rapat. Sentuhan kulit bayi dan anda dalam masa 1 jam yang pertama selepas kelahiran selama sekurang-kurangnya 10 minit akan mengeratkan hubungan anda.  Ini penting untuk memulakan proses pengeluaran susu , rooting reflex (mencari-cari payudara) dan gerak balas hisapan kuat dalam masa 1 hingga 2 jam pertama. Bayi paling peka pada keadaan sekelilingnya pada ketika ini . Bagi ibu, hubungan ini mendorong rasa kasih sayang bagi meneruskan penyusuan lebih lama .

Kepentingan Penyusuan Susu Ibu Secara Eksklusif

Susuilah bayi anda dengan susu ibu sahaja dariahir sehingga ia berusia 6 bulan yang pertama , susu ibu mengandungi cukup air.  Tiada minuman dan makanan tambahan diperlukan oleh bayi sebelum ia berumur 6 bulan . Bayi anda tidak memerlukan puting tiruan atau pacifier. Susuilah bayi anda kerap sekurang-kurangnya 8 hingga ke 12 kali dalam sehari termasuk penyusuan malam.  Makanan pelengkap hanya perlu diberikan apabila anak anda mencecah umur 6 bulan bagi memastikan tumbesaran yang baik .  Teruskan penyusuan susu ibu sehingga anak anda berumur 2 tahun
Prelacteal Feeds

Lazimnya bayi lahir dengan simpanan air yang mencukupi sehingga susu dihasilkan. Makanan seperti susu formula, air glukos dan air kosong tidak diperlukan oleh bayi. Kolostrum sahaja memadai untuk bayi anda pada ketika ini

Pemberian makanan sebelum terhasilnya susu yang  banyak (prelacteal) akan menyebabkan

Bayi

Ø  Tidak mahu menghisap dari ibu kerana susu gantian telah mengenyangkannya
Ø  Tidak akan mendapat kolostrum
Ø  Akan keliru puting sekiranya diberi melalui botol

Ibu

Ø  Susu ibu lambat dihasilkan kerana kurang rangsangan
Ø  Boleh menyebabkan bengkak payudara
Ø  Sukar memulakan penyusuan dan berkemungkinan berhenti menyusu

Apa yang perlu ibu lakukan untuk memastikan penghasilan susu yang mencukupi untuk bayi

v  Susui bayi anda sebaik sahaja bayi dilahirkan
v  Susui bayi anda dengan kerap pada setiap 2 jam atau mengikut kehendak ibu dan bayi
v  Susui bayi anda dari kedua-dua belah payudara
v  Susui bayi anda di waktu malam kerana susu banyak dihasilkan di waktu malam
v  Perbaiki pengambilan makanan anda. pastikan anda makan makanan seimbang dan minum air secukupnya
v  Yakini diri anda. anda boleh menyusui bayi anda

Kepentingan ibu dan anak bersama setiap masa

v  Anda boleh menyusukan bayi anda pada bila-bila masa
v  Merangsang pengaliran dan pengeluaran susu ibu
v  Membolehkan bayi  anda mendapat cukup susu
v  Mengeratkan lagi kasih sayang antara anda dan bayi anda

Kepentingan Menyusu Mengikut Kehendak Bayi

v  Susui bayi anda apabila ia lapar atau meminta
v  Sekiranya bayi anda tidur terlalu lama, kejutkan bayi anda untuk disusui
v  Penyusuan tanpa had dan kerap akan menghasilkan susu yang banyak dan cukup untuk bayi anda serta menghindarkan anda daripada mengalami bengkak payudara
v  Biarkan bayi anda menyusu pada bila-bila masa dan seberapa lama yang disukainya.

Rujukan              
Pamplet Unit Pemakanan, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor
Disember 2006

Tuesday, 10 January 2012

Cuti Sakit Swasta

KERAJAAN MALAYSIA

PEKELILING PERKHIDMATAN BILANGAN 2 TAHUN 2006

PINDAAN PERATURAN BERKAITAN PENERIMAAN SIJIL SAKIT
SWASTA UNTUK TUJUAN KEMUDAHAN CUTI SAKIT


TUJUAN
1. Pekeliling Perkhidmatan ini bertujuan melaksanakan keputusan Kerajaan mengenai pindaan peraturan berkaitan penerimaan sijil sakit swasta untuk tujuan meluluskan kemudahan cuti sakit.


LATAR BELAKANG
2. Perintah Am 15 Bab C memperuntukkan bahawa Ketua Jabatan boleh menggunakan budibicaranya untuk menerima sijil sakit yang dikeluarkan oleh doktor swasta bagi tujuan meluluskan cuti sakit. Selaras dengan perkembangan amalan perubatan di sektor awam dan swasta, Kerajaan telah bersetuju meminda peraturan berkaitan penerimaan sijil sakit yang dikeluarkan oleh doktor swasta untuk tujuan meluluskan kemudahan cuti sakit.

PELAKSANAAN
3. Kemudahan cuti sakit boleh diluluskan dengan syarat-syarat seperti berikut:
a. bagi pegawai yang menerima rawatan sebagai pesakit luar di hospital atau klinik swasta, sijil sakit yang dikeluarkan oleh doktor swasta tanpa sokongan oleh Pegawai Perubatan Kerajaan boleh diterima jika ia memberi jumlah cuti sakit yang tidak melebihi 15 hari dalam sesuatu tahun kalendar; atau
b. bagi pegawai yang menerima rawatan sebagai pesakit dalam di hospital atau klinik swasta, sijil sakit yang dikeluarkan oleh doktor swasta tanpa sokongan oleh Pegawai Perubatan Kerajaan boleh diterima jika ia memberi jumlah cuti sakit yang tidak melebihi 180 hari dalam sesuatu tahun kalendar; dan
c. jumlah cuti sakit sama ada berasaskan sijil sakit swasta atau sijil sakit kerajaan yang boleh diberikan adalah tidak melebihi 180 hari dalam sesuatu tahun kalendar, di mana 90 hari pertama boleh diluluskan oleh Ketua Jabatan dan 90 hari seterusnya hendaklah diluluskan oleh Ketua Setiausaha.

PINDAAN
4. Dengan berkuatkuasanya Pekeliling Perkhidmatan ini, peruntukan Perintah Am 15 Bab C yang berkaitan dengan penerimaan sijil sakit swasta oleh Ketua Jabatan adalah dipinda seperti di perenggan 3(a), (b) dan (c).

TARIKH KUAT KUASA
5. Pekeliling Perkhidmatan ini berkuatkuasa mulai tarikh ia dikeluarkan.

PEMAKAIAN
6. Tertakluk kepada penerimaannya oleh pihak berkuasa masing-masing, Pekeliling Perkhidmatan ini pada keseluruhannya dipanjangkan kepada semua Perkhidmatan Negeri, Pihak Berkuasa Berkanun dan Pihak Berkuasa Tempatan.


“BERKHIDMAT UNTUK NEGARA”



(DATO’ SRI ISMAIL ADAM)
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam
Malaysia.
JABATAN PERKHIDMATAN AWAM
MALAYSIA
PUTRAJAYA
27 April 2006
Semua Ketua Setiausaha Kementerian
Semua Ketua Jabatan Persekutuan
Semua Y. B. Setiausaha Kerajaan Negeri
Semua Pihak Berkuasa Berkanun
Semua Pihak Berkuasa Tempatan

Thursday, 5 January 2012

Jerawat : Penyakit Kulit Yang Boleh Dirawat



JERAWAT, sebut saja mengenai masalah kulit itu, nescaya tiada siapa pun gemar melihatnya hadir meliar memenuhi wajah. Sudahlah besar dan kemerahan pula tu, ia menyakitkan hati hingga menjadikan kita hilang keyakinan diri. Biarlah setebal mana calitan solekan dikenakan, tompok sana sini, jerawat sukar disembunyikan daripada pandangan, malah lebih menyakitkan hati ia seakan lebih menonjol daripada segala perhiasan yang melengkapi penampilan kita.
Terdahulu, ketika ditanya mengenai masalah jerawat yang mampu meninggalkan kesan terhadap wajah. Jerawat atau acne tercetus akibat dari beberapa faktor saling berkaitan antaranya adalah keturunan, hormon dan kuman (bakteria). Masalah ini biasanya dialami oleh remaja apabila mereka mula mencapai tempoh kematangan (puberty). jerawat juga terbahagi kepada beberapa kategori dan antara yang paling lazim adalah jerawat batu, jerawat putih, jerawat hitam dan komedo.
“Semakin banyak sebum (minyak) dikeluarkan, peluang untuk mendapat jerawat menjadi tinggi. Apabila liang ini tersumbat dengan sebum sel kulit mati, jerawat hitam (komedo) akan terbentuk. Jika liang tersumbat kekal tertutup dan membengkak ia menjadi jerawat putih (whitehead). Jika liang yang tersumbat kekal terbuka dan permukaan atasnya (pada kulit) menjadi gelap, ia dikenali sebagai jerawat hitam.
Semasa proses kematangan (puberty), kelenjar minyak menjadi sangat aktif berdasarkan penghasilan dan perubahan hormon testosteron dalam tubuh badan. Ini menyebabkan saiz dan kadar metabolisma pada kelenjar juga meningkat dan bagi individu yang sensitif, penghasilan sebum berlebihan dan tercetus. “Fungsi sebum dipercayai bertindak sebagai pelincir dan lapisan pelindung kepada rambut dan kulit. Kelenjar minyak mengandungi campuran kuman mampu mengubah sebum kepada asid lemak hingga mengakibatkan radang.  Tekanan psikologi  dan pra-haid juga memberi kesan kepada ketidakseimbangan hormon yang akhirnya menyebabkan kehadiran jerawat pada wajah. Faktor persekitaran dan penggunaan kosmetik yang terlalu keras serta pengambilan pil juga menjadi sebahagian daripada punca masalah yang lazim ini
Bagi merawat masalah jerawat selain daripada penggunaan produk dan pengambilan ubatan bagi mengawal pembentukkan  jerawat, sinaran laser.
“Tampil cantik dan sihat sememangnya menjadi dambaan ramai. Namun perlu diingatkan rawatan yang dijalankan seharusnya dilakukan oleh pakar dan pusat rawatan bertauliah".

Wednesday, 4 January 2012

Masalah Keputihan di kalangan Wanita




Selagi  bernama wanita, tiada seorang pun daripada mereka di dunia ini yang terlepas daripada mengalaminya. Paling tidak, sekali seumur hidup mereka.

Masalah keputihan wanita adalah merupakan antara masalah kesihatan yang sering dialami oleh kebanyakan wanita. Keputihan wanita adalah merupakan masalah yang kedua sesudah masalah gangguan haid.

Masalah keputihan wanita boleh didefinisikan sebagai pengeluaran cairan dari vagina. Cairan tersebut pada kebiasaannya keluar dalam keadaan pekat atau cair, berwarna jernih, putih, kuning atau hijau dan berbau atau tidak berbau. Ada sebahagian daripada wanita yang menganggap cairan yang keluar dari vagina adalah masalah yang biasa dan ada juga antara mereka yang menganggap masalah keputihan wanita ini mengganggu aktiviti seharian mereka.

Masalah keputihan wanita yang amat perlu diberikan perhatian adalah apakah keputihan wanita tersebut adalah normal atau ada sesuatu penyakit.

Pengeluaran cairan daripada vagina adalah merupakan normal pada usia yang tidak produktif, di mana cairan tersebut pada kebiasaannya dalam keadaan yang sedikit, jernih, tidak bau dan tidak gatal.

Kebiasaannya cairan yang keluar adalah dihasilkan oleh kelenjar pada mulut rahim, yang bercampur dengan sel-sel vagina serta  bakteria. Kalau berasaskan fisiologi, pengeluaran cairan berlaku semasa ovulasi, ketika bermula dan selepas haid, rangsangan seksual, serta dalam kehamilan.
Sifat serta banyaknya keputihan wanita boleh menunjukkan sebab mengapa ianya berlaku. Selain itu petunjuk lain juga penting iaitu tempoh ia berlaku, sama ada secara terus menerus atau hanya pada waktu tertentu sahaja, warna, bau disertai rasa gatal atau tidak.

Di bawah adalah beberapa contoh yang menyebabkan keputihan wanita yang abnormal:

ü  Jangkitan kulat, mengeluarkan keputihan wanita yang berwarna putih atau kekuningan, berlaku secara berterusan disertai rasa gatal, kebiasaannya disebabkan oleh kulat candida atau monillia

ü   Jangkitan kuman trichomonas, jenis ini biasanya ditunjukkan oleh keluarnya cairan berwarna kehijauan dan serta rasa gatal

ü   Jangkita bakteria vaginosis, tandanya ialah keluarnya cairan yang berwarna kelabu dan berbau

ü  Penyakit yang menular melalui perhubungan seks, yang biasanya ditunjukkan dengan keluarnya cairan yang bersifat ‘cheesy’, berbau dan bercampur darah

ü  Kanser pangkal rahim iaitu apabila keluarnya cairan tetapi tidak gatal biasanya disertai bau busuk

Antara contoh penyebab keputihan wanita lain:

>> Vaginitis atropik yang timbul di waktu usia lanjut (menopause) yang pada kebiasaannya disertai rasa nyilu disebabkan kurangnya hormon estrogen

>> Ubat seperti : antibiotik, ubat yang mengandungi estrogen

>> Kehadiran benda asing seperti benang, kain atau benda lain yang secara sengaja / tidak sengaja ada di dalam vagina.


Gejala jangkitan ini merupakan sebab utama kebanyakan wanita berjumpa doktor. Begitu juga dengan Shahidah. Selepas didiagnosis dengan penyakit kerongkong, doktor telah mempreskripsinya dengan sejenis antibiotik. Tidak lama selepas pengambilan ubat itu, keadaan Shahidah bertambah baik. Sakit kerongkongnya semakin berkurangan manakala suhu badannya pula kembali normal. Dia baru sahaja hendak meneruskan semula rutin sehariannya yang agak sibuk seperti biasa apabila Shahidah, pada suatu pagi, mulai perasan, ada cecair yang agak luar biasa melekat pada celana dalamnya. Lebih memburukkan keadaan, cecair tebal keputihan seperti keju itu menyebabkan bahagian alat sulitnya mengalami kegatalan yang amat sangat. Doktor mengesahkan Shahidah telah dijangkiti kulat faraj atau istilah perubatannya Vaginal Candidiasis, akibat penggunaan antibiotik bagi merawat sakit kerongkongnya sebelum ini.  ``Jangkitan kulat faraj lazimnya bukanlah sejenis jangkitan yang serius tetapi ia menyebabkan ketidakselesaan yang ketara kepada wanita. ``Ia berpunca daripada organisma kulat seakan-akan fungus, Candida Albicans yang tidak seimbang di dalam faraj,'' kata pakar perunding kesihatan reproduktif di salah sebuah pusat perubatan di Klang, Selangor, Dr. Alice Prethima Michael.

Adalah dianggarkan sehingga 75 peratus (tiga daripada empat) wanita berusia di antara 20 hingga 45 tahun mengalami jangkitan kulat faraj, sekurang-kurangnya sekali seumur hidup mereka. Separuh daripada wanita melalui pengalaman tersebut lebih daripada sekali manakala kira-kira 25 peratus, setahun sekali dan lima peratus, antara tiga hingga empat kali sebulan.

Dr. Alice berkata, adalah sesuatu yang normal apabila sedikit Candida didapati hidup secara semula jadi di dalam faraj. Menurutnya, imbangan bakteria yang betul di samping persekitaran faraj yang berasid menghalang pembiakan kulat itu yang keterlaluan.  Bagaimanapun, beberapa keadaan boleh menggalakkan pembiakannya dan kewujudan Candida yang terlalu banyak boleh membawa kepada jangkitan kulat.

``Antibiotik misalnya boleh membunuh bakteria baik yang hidup di dalam faraj bagi menyekat pembiakan Candida yang berlebihan. ``Kulat berkenaan juga boleh membiak sekiranya kandungan gula dalam darah seseorang berada pada paras yang tinggi,'' katanya. Wanita yang mempunyai diabetes tidak terkawal berisiko tinggi mendapat jangkitan kulat, ujar beliau. Ketidakseimbangan asid faraj antara lain disebabkan oleh tekanan, kehamilan dan penyakit-penyakit yang mempengaruhi sistem imunisasi atau ketahanan badan seseorang. Selain antibiotik, ubat-ubatan seperti pil perancang dan steroid juga boleh mengakibatkan jangkitan kulat faraj. ``Kebanyakan wanita cenderung dijangkiti kulat sejurus sebelum datang bulan disebabkan oleh perubahan hormon pusingan haid mereka. ``Pakaian khususnya seluar dalam yang terlalu ketat dan diperbuat daripada bahan nilon juga boleh menyuburkan pembiakan kulat,'' katanya.

Kulat, kata Dr. Alice, memang menyukai persekitaran yang agak hangat dan berlembap yang boleh disumbangkan oleh jean ketat, pantyhose dan lain-lain bahan sintetik yang boleh memerangkap lembapan.

Sekiranya seseorang wanita itu mengalami gejala-gejala jangkitan, adalah penting bagi mereka untuk berjumpa doktor supaya diagnosis yang tepat dapat dilakukan. Ini kerana, beberapa penyakit lain seperti jangkitan saluran kencing mempunyai gejala-gejala yang menyerupai jangkitan kulat faraj.
Masalah akan menjadi bertambah buruk jika rawatan yang diberikan adalah berlainan daripada jenis jangkitan yang sebenarnya, tegasnya. Doktor akan mengambil contoh cecair keputihan untuk diperiksa di makmal menggunakan mikroskop atau ujian kultur kulat sebelum mempreskripsi ubat-ubatan berbentuk pil, krim sapuan atau supositori berbentuk pepejal untuk dimasukkan ke dalam faraj. ``Jika pesakit mengikut segala arahan dengan betul, jangkitan dapat disembuhkan dalam masa beberapa hari hingga seminggu sahaja.

``Jika tidak, ia akan berulang kembali,'' katanya sambil menambah, jangkitan yang dibiarkan tanpa rawatan boleh menyebabkan jangkitan pelvik yang lebih teruk.

Sekalipun jangkitan kulat faraj tidak diklasifikasikan sebagai penyakit yang ditularkan melalui hubungan kelamin, namun dalam keadaan yang jarang berlaku, ia boleh merebak kepada pasangan pesakit.  Bagaimanapun, pasangan lelaki berkenaan tidak semestinya memerlukan rawatan lanjut kecuali mengalami gatal-gatal, kerengsaan dan kepala zakar menjadi kemerah-merahan.

Gejala jangkitan kulat faraj:

Ø  Rasa gatal, panas seperti terbakar atau mengalami kerengsaan faraj

Ø  Vulva (bibir faraj) melecet, kemerah-merahan dan bengkak

Ø  Keputihan tebal yang kelihatan seperti keju kotej, kebiasaannya tidak berbau ataupun jika berbau adalah seperti roti atau ragi

Ø  Sakit atau pedih semasa membuang air kecil atau melakukan hubungan seksual.

Ø  Langkah-langkah pencegahan:

Ø  Selepas membuang air, selalulah mencuci bahagian alat sulit dari bahagian hadapan ke belakang bagi mengelakkan penyebaran kulat dari dubur ke faraj

Ø  Pastikan alat sulit sentiasa berada di dalam keadaan kering selepas mandi ataupun membuang air

Ø  Elakkan pemakaian seluar yang ketat atau seluar dalam jenis sintetik yang menghalang pengaliran udara yang baik

Ø  Bertukarlah kepada pakaian dalam yang diperbuat daripada kain kapas bagi membantu mengekalkan kekeringan dan kebersihan faraj

Ø  Jika boleh, pakai seluar dalam kain kapas semasa tidur atau tidak memakainya langsung

Ø  Pakai pakaian dalam yang telah dibersihkan dan dikeringkan terlebih dahulu

Ø  Cuci alat sulit anda setiap hari menggunakan sabun lembut atau krim gliserin

Ø  Elakkan daripada melakukan hubungan kelamin sejurus selepas membuang air besar

Ø  Sesetengah wanita mungkin sensitif terhadap haruman tertentu yang digunakan di dalam sabun, bahan pencuci atau produk semburan, gel mandian, losen, produk sanitari atau pencuci pakaian

Ø  Jika kerengsaan berlaku, elakkan penggunaannya sebaliknya beralihlah kepada produk yang bebas haruman.