Search This Blog

Wednesday 28 December 2011

MASALAH PROSTAT


Apa itu prostat?

Prostat ialah kelenjar seks bagi lelaki. Bagi lelaki dewasa, kelenjar ini biasanya hampir sama besarnya dengan biji walnut. Kedudukannya di bawah pundi kencing, di pangkal zakar dan di hadapan rektum. Prostat mengeluarkan sebahagian cecair dalam air mani lelaki. Prostat mempunyai lubang sempit ditengahnya. Tiub (uretra) yang mengeluarkan air kencing dari pundi kencing melalui lubang ini hingga ke hujung zakar. Masalah prostat adalah biasa bagi lelaki apabila umur mereka meningkat (50 tahun ke atas).

Anda mungkin mengalami masalah semasa kencing. Anda mungkin mengalami beberapa atau semua perubahan yang berikut:

1.       Sukar untuk mengeluarkan air kencing terutamanya dalam keadaan terkejar-kejar.
2.       Sukar untuk menghentikan aliran air kencing.
3.       Mengambil masa kerana aliran air kencing lemah atau sering terhenti.
4.       Air kencing masih menitis walaupun sudah selesai membuangnya.
5.       Sering berasa hendak kencing diwaktu siang .
6.       Sering bangun malam untuk kencing.
7.       Sentiasa dalam keadaan tergesa-gesa apabila hendak kencing.
8.       Berasa tidak puas kencing.
9.       Sakit atau pedih semasa kencing.
10.   Kadang-kadang ada darah didalam air kencing. Keadaan ini memerlukan pemeriksaan doktor.

Jika anda mengalami masalah ini, berjumpalah dengan doktor. Jangan hanya menganggap masalah ini sebagai masalah yang berlaku kerana umur anda meningkat. Rawatan yang sesuai dapat menyelamatkan anda.

Apakah yang menyebabkan masalah ini?

Lapan (8) daripada sepuluh (10) kes yang berlaku adalah kerana prostat menjadi bengkak. Prostat yang bengkak ini menekan uretra. Masalah ini dikenali sebagai benign prostatic hyperplasia (BPH) dan ia disebabkan oleh perubahan hormon di dalam prostat. Masalah ini dialami oleh hampir separuh daripada lelaki yang berumur 50 tahun ke atas dan ia tidak menyebabkan kanser
.
Ada kalanya prostat menjadi bengkak disebabkan oleh jangkitan yang dikenali sebagai prostatitis yang mempunyai simptom yang sama dengan BPH. Masalah ini selalunya dialami oleh lelaki yang lebih muda. Kurang daripada seorang dalam sepuluh lelaki yang mempunyai masalah prostat akan mendapat kanser prostat. Perlu diingat- kebanyakan masalah prostat bukanlah kanser, dan kebanyakannya boleh dirawat.





Apakah tindakan doktor?

Doktor akan terlebih dahulu mencari punca masalah ini. Beberapa ujian perlu dilakukan termasuk:

Pemeriksaan Rektum

Doktor akan memasukkan jari yang bersarung ke dalam rektum untuk merasai saiz, bentuk dan tekstur prostat anda.
               
Ujian Prostate specific antigen (PSA)

Ini adalah ujian darah untuk melihat PSA yang dikeluarkan oleh prostat. Jika bacaannya tinggi, anda mungkin mengalami kanser prostat - tetapi doktor perlu melakukan beberapa ujian lain untuk memastikan masalah tersebut.

Biopsi

Jika hasil ujian PSA dan pemeriksaan rektum anda tidak normal, doktor mungkin akan merujukkan anda kepada doktor pakar (pakar urologi). Doktor pakar mungkin akan mencadangkan supaya anda mengambil ujian biopsi. Dalam ujian ini, pengesan ultrasound diletakkan di bahagian rektum untuk mencari kawasan yang tidak normal pada prostat. Contoh atau sampel daripada prostat (selalunya 6 atau lebih) diambil dan dihantar untuk dilihat dibawah mikroskop.

Biopsi adalah kaedah utama untuk mengetahui jika anda mangalami kanser prostat. Biopsi akan memberikan petunjuk atau indikasi bagaimana kanser tersebut boleh merebak dan kadar bahaya kanser tersebut (keagresifan). Ini dapat membantu untuk memilih kaedah rawatan.

Kaedah rawatan bergantung pada punca masalah dan tahap bahaya. Doktor akan memberi nasihat apakah tindakan terbaik yang perlu anda ambil . Jika prostat anda bengkak, ini tidak semestinya anda menghidap kanser.

Apakah kaedah rawatan masalah prostat dan kanser prostat?

Benign prostatic hyperplasia (BPH)

Masalah ini dapat diatasi dengan ubat atau pembedahan.

Ubat dapat menukar tahap hormon, merelakskan atau mengecutkan prostat supaya ia tidak menekan uretra. Anda mungkin perlu mengambil ubat untuk beberapa bulan sebelum simptom masalah tersebut berkurangan. Anda perlu terus mengambil ubat sehingga simptom dapat dikawal dan perlu mendapat pemeriksaan doktor.




Pembedahan mungkin dilakukan untuk membuang sebahagian daripada prostat supaya ia tidak lagi menekan uretra. Rawatan laser atau gelombang mikro juga mungkin diguna-kan.

Kanser prostat

Kadangkala kanser prostat tidak memerlukan rawatan. Doktor akan sentiasa melakukan pemeriksaan untuk mengenal pasti perubahan yang berlaku. Rawatan akan dicadangkan apabila sel kanser telah merebak.

Rawatan akan bergantung pada sejauh mana kanser telah merebak, umur dan tahap kesihatan pesakit. Jika sel kanser tidak merebak, pesakit mungkin akan menjalani pembedahan untuk membuang prostat ataupun radioterapi untuk membunuh sel kanser. Radioterapi boleh diberi melalui mesin (radioterapi sinaran luaran atau external beam radiotherapy) ataupun melalui pembedahan, apabila sumber radiasi diletakkan di bahagian yang hendak dirawat.

Jika sel kanser telah merebak, pesakit mungkin menjalani rawatan hormon untuk mematikan sel kanser atupun melemahkan sel tersebut. Sesetengah pesakit menjalani rawatan hormon untuk mengecutkan sel kanser sebelum menjalani rawatan brakiterapi.

Tuesday 27 December 2011

Tugas Dan Tanggungjawab Seorang Doktor Muslim

1. Membetulkan Keimanan Pesakit

Seorang doktor hendaklah sentiasa mengingatkan pesakit bahawa kesihatan adalah terletak dalam tangan Allah yang Maha Perkasa – Dialah penyembuh yang sebenar-benarnya. Sebagaimana Nabi Ibrahim AS bersabda di dalam al-Qur’an dalam surah 26, ayat 80 yang bermaksud:

“…dan apabila aku sakit, Dialah (iaitu Allah) Yang Menyembuhkan aku.”

Semua ubat-ubatan dan alat kelengkapan hanya merupakan cara yang digunakan dan ia tidak seharusnya melemahkan keimanan pesakit terhadap Allah.

Terdapat sebuah hadith dari Abu Khuzaima yang mendengar bapanya berkata, “Kami bertanya kepada Nabi Muhammad SAW sekiranya kami mendoakan untuk seseorang dan memakan ubat serta mengambil langkah perlindungan, adakah ini bermakna sudah hilang keimanan kami kepada Allah? Maka Nabi Muhammad SAW bersabda; “Itu adalah dari Iradah Tuhan.”

2. Berurusan Dengan Pesakit Secara Fizikal Dan Spiritual

Seorang doktor tidak seharusnya memberikan keutamaan kepada satu aspek sahaja berbanding dengan aspek-aspek yang lain. Ini boleh dilaksanakan dengan mematuhi perkara-perkara berikut:

a. Mendengar dengan cermat tentang segala aduan pesakit dan membuat pemeriksaan ke atas pesakit dengan teliti. Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud; “Tuhan menyayangi mereka yang melakukan kerjanya dengan sempurna.” (Abu Dawud)

b. Meminta kebenaran pesakit apabila hendak melakukan pemeriksaan ke atasnya.

c. Hendaklah bersikap lemah-lembut semasa melakukan pemeriksaan. Terdapat sebuah hadith daripada Aisyah (semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya), tentang beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda, “Kelembutan akan membuat sesuatu perkara itu bertambah baik, kurangnya kelembutan akan membuatkan sesuatu perkara itu bertambah buruk” (Muslim)

d. Mengingatkan pesakit apabila tiba waktu sembahyang untuk mengerjakan solat sebagaimana Rasulullah SAW biasa melakukan sembahyang berdekatan dengan pesakit dan memohon kepada Allah untuk memberikan keampunan dan kemaafan kepadanya. Sembahyang membawa pesakit ke hadhrat Allah, meningkatkan keimanan dalam dirinya dan membuatkannya redha dengan apa yang telah Allah tetapkan baginya kerana mereka bergantung kepadaNya sebagaimana di dalam Surah 40, Ayat 60 Allah berfirman yang bermaksud;

“Dan Tuhanmu berfirman : ‘Berdoalah kepadaKu (dan mintalah apa sahaja dariKu), nescaya akan Kuperkenankan bagimu. Sesungguhnya orang-orang yang menyombong diri dari menyembahKu akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina-dina.”

Dan sekali lagi dalam Surah 2, Ayat 186 Allah berfirman yang bermaksud:

“Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu (Wahai Muhammad SAW tentang Aku jawablah), bahawasanya Aku adalah (sangat) dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu (tanpa sebarang perantaraan dan orang tengah), maka hendaklah mereka itu memenuhi segala perintahKu dan hendaklah mereka beriman kepadaKu, agar mereka selalu berada dalam kebenaran.”

Dan sekali lagi Allah berfirman dalam Surah 27, Ayat 61 yang bermaksud:

“Atau siapakah yang telah menjadikan bumi sebagai tempat berdiam, dan menjadikan sungai-sungai di celah-celahnya dan yang menjadikan gunung-gunung untuk (mengukuhkannya) dan menjadikan suatu pemisah antara dua laut (lautan masin dan sungai air tawar)? Apakah di samping Allah ada Tuhan (yang lain)? Bahkan (sebenarnya) kebanyakan dari mereka tidak mengetahui.”

e. Mengingatkan pesakit bahawa penyakit mereka merupakan penebusan (ibtila) bagi kesalahan (dhunub) dan dosa yang telah dilakukan olehnya. Abu Hurairah dan Abu Said mendengar Nabi Muhammad SAW bersabda, “Walau apa sahaja yang menjejaskan orang-orang Islam sama ada dari penyakit, kesakitan, keletihan, kesengsaraan, kesedihan (hazan), kecederaan (kerosakan) atau kematian, malah walaupun sekiranya tulang ikan yang melukakanmu, iaitu kecederaan yang sekecil-kecilnya, dan disebabkan ini Allah akan menghapuskan dari kamu dosa-dosa kamu.”

f. Mengadakan perundingan dengan pesakit dan mengambil persetujuan daripadanya atas sebarang perancangan atau perlaksanaan, terutamanya dalam keadaan yang berkaitan dengan pembedahan dan sebagainya.

g. Membuatkan pesakit berasa gembira, menaikkan kegirangannya dan beliau hendaklah mengurangkan kesengsaraan pesakit dengan memberikan keseronokan dalam hatinya. Nabi Muhammad SAW pernah bersabda yang bermaksud:

“Sekiranya anda melawat pesakit, anda hendaklah jangan mengkhabarkan kepadanya suatu berita buruk, tetapi hendaklah memberikan galakan kepadanya dan berikan keyakinan kepadanya. Sekiranya anda memberitahu kepadanya yang dia akan hidup lebih lama lagi, anda tidaklah dapat memanjangkan usianya tetapi sekurang-kurangnya dapat memberikannya sedikit keselesaan dan kelegaan dengan membuang perasaan takut akan mati.”

h. Seorang doktor hendaklah berdoa kepada Allah untuk menyembuhkan pesakit. Ini sepatutnya dilakukan dengan kehadiran pesakit tersebut. Abu Darda mendengar Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Apabila anda mendoakan untuk saudara Islam anda dalam kehadirannya, tindakan ini sangat-sangat dihargai oleh Allah; dan malaikat yang berada di sisi pesakit akan sama-sama mendoakan anda juga.” (Muslim)

i. Menghormati kemahuan pesakit dan tidak memaksa pesakit untuk menerima sesuatu yang beliau tolak. Sebagai contoh, pesakit wanita yang meminta diperiksa oleh doktor wanita.

j. Hendaklah memberitahu pesakit atau keluarganya dengan bijak dan cermat tentang penyakit bahaya yang dihidapinya.

3. Seorang Doktor Hendaklah Melakukan Segala Usaha Untuk Merawat Pesakit.

Beliau hendaklah menyembuhkan kesakitan sebaik mungkin yang beliau boleh dengan bergantung kepada pertolongan Allah.

4. Melindungi Hal-Hal Peribadi Pesakit

Seseorang doktor tidak seharusnya mendedahkan hal-hal peribadi pesakit melainkan untuk keperluan perubatan sahaja. Beliau hendaklah menutup apa yang beliau nampak sama ada kecacatan fizikal atau bukan fizikal atau tingkahlaku pesakit yang buruk. Abu Hurairah mendengar Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud:

“Sekiranya seseorang itu melindungi kecacatan seseorang yang lain, maka Tuhan akan melindungi kecacatannya pada hari akhirat kelak.” (Muslim)

5. Menyimpan Rahsia Pesakit

Seorang doktor hendaklah menyimpan rahsia pesakit kerana ini akan menyebabkan pesakit tersebut mempercayai doktor. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Seorang doktor adalah pemegang amanah” (al-Tarmizi dan Ibn majah)

Seorang doktor tidak harus mendedahkan rahsia pesakit melainkan dalam keadaan tertentu (daripada proseding Persidangan Perubatan Islam Pertama yang diadakan di Kuwait pada tahun 1401[1981]):

a. Seorang doktor boleh mendedahkan rahsia pesakit sekiranya ia adalah untuk kepentingan pesakit itu sendiri. Contohnya, jika pesakit itu menderita dengan penyakit psikiatri yang mungkin akan mendatangkan keburukan kepada diri sendiri, seperti terlibat dengan kejadian bunuh diri dan sebagainya. Dalam kes ini seorang doctor hendaklah memberitahu kepada kaum keluarga pesakit ini supaya mereka dapat mengambil langkah-langkah pencegahan untuk memberhentikan pesakit itu dari mendatangkan keburukan kepada diri sendiri.

b. Sekiranya ianya mendatangkan bahaya kepada orang lain. Contohnya, sekiranya pesakit mempunyai jangkitan seksual dan akan mendirikan rumahtangga, doctor mungkin akan memintanya untuk menangguhkan dulu perkahwinan tersebut sehinggalah beliau sembuh, tetapi jika pesakit tidak mahu bekerjasama, maka doctor kemudiannya hendaklah memberitahu kepada keluarga bakal isteri pesakit itu, agar dapat mencegah kerosakan sekiranya perkahwinan itu diteruskan.

c. Sekiranya mendatangkan bahaya kepada orang awam. Contohnya jika pesakit itu seorang pemandu bas atau kapal terbang, dan beliau menghidap penyakit epilepsy, seorang doktor mestilah mencegah pesakit ini daripada melakukan kerjanya kecualilah penyakitnya telah benar-benar sembuh. Sekiranya pesakit tidak memberikan kerjasama, doktor terpaksa memberitahu kepada majikannya untuk mencegah pesakit ini.

6. Tidak Menyebabkan Kemudaratan Kepada Pesakit.

Seorang doktor tidak harus menyebabkan sebarang kemudaratan kepada pesakit. Allah berfirman dalam Surah 5, Ayat 32 yang bermaksud:

“Oleh kerana itu kami tetapkan (suatu hukum) bagi Bani Israil, bahawa: barangsiapa yang membunuh seorang manusia, bukan kerana orang itu (membunuh) orang lain, atau bukan kerana membuat kerosakan di muka bumi, maka seakan-akan dia telah membunuh manusia seluruhnya. Dan barangsiapa yang memelihara kehidupan seorang manusia, maka seolah-olah dia telah memelihara kehidupan manusia semuanya. Dan sesungguhnya telah dating kepada mereka rasul-rasul kami dengan membawa keterangan-keterangan yang jelas, kemudian banyak di antara mereka sesudah itu sungguh-sungguh melampau batas dalam berbuat kerosakan di mukabumi.”

Dan sekali lagi dalam surah 4, Ayat 93, Allah berfirman yang bermaksud:

“Dan barangsiapa yang membunuh seorang mukmin dengan sengaja, maka balasannya ialah Jahanam, kekal ia di dalamnya dan Allah murka kepadanya, dan mengutuknya serta menyediakan azab yang besar baginya.”

Dan Nabi Muhammad SAW bersabda dalam sebuah hadith yang bermaksud:

“Jangan mendatangkan kemudaratan kepada orang lain dan seharusnya orang lain tidak mendatangkan keburukan kepada kamu.” (Ahmad dan Ibn Majah)

7. Tidak Boleh Mempreskripsi Ubat Larangan

Seorang doktor tidak bioleh mempreskripsi ubat-ubatan yang menjadi larangan di dalam Islam. Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud:

“Allah yang menurunkan penyakit dan ubat dan Dia jugalah yang memberikan rawatan untuk setiap penyakit”

Oleh itu hendaklah anda menjalankan rawatan dan jangan juga merawat diri anda sendiri dengan ubat yang diharamkan melainkan dalam kes yang benar-benar kecemasan, anda mungkin dikecualikan.

8. Menasihati Perkara Yang Baik Dan Mencegah Perkara Yang Buruk

Seorang doktor hendaklah melakukan tugas untuk menasihatkan pesakit kepada perkara-perkara baik dan mencegahnya daripada melakukan tindakan-tindakan yang salah dan perbuatan yang buruk.

Allah berfirman dalam Surah 3, Ayat 110 yang bermaksud:

“Kamu (orang Islam yang benar-benar beriman) adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, kamu menyuruh kepada yang makruf…”

(Iaitu Tauhid Islamiyah dan kesemua apa yang diperintahkan oleh Islam. Contohnya menyeru pesakit untuk terus melakukan perkara yang Tuhan seru untuk kita lakukan seperti berpuasa, bersembahyang dan menasihati pesakit untuk mengelakkan perkara yang dilarang seperti minum alkohol dan menagih dadah sekiranya pesakit mempunyai tabiat sebegini)

“…..dan mencegah perkara mungkar…..”

(kesyirikan, kekufuran dan segala sesuatu yang dilarang oleh Islam)

“…..dan beriman kepada Allah.”

9. Mengajar Pesakit Nazak Mengucap Dua Kalimah Syahadat

Mengajar pesakit yang sedang nazak untuk mengucap Kalimah Syahadah, iaitu Tiada Tuhan selain daripada Allah dan Nabi Muhammad SAW itu pesuruh Allah. Ini berdasarkan kepada sebuah hadith daripada Muaz bin Jabal yang mendengar Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa sahaja yang mengucapkan kalimah sebelum meninggal dunia akan memasuki syurga.”

10. Kaedah Merawat Pesakit Wanita

Berkenaan dengan pesakit wanita : Secara idealnya doktor wanita seharusnya memeriksa pesakit wanita. Tetapi sekiranya terdapat keperluan perundangan Islam, doktor lelaki mungkin boleh memeriksa pesakit wanita dan sebaliknya. Dalam kes ini beberapa perkara harus diingat:

a. Seorang doktor lelaki hendaklah memeriksa pesakit perempuan dengan kehadiran jururawat. Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud:

“Tidak seorangpun dibenarkan untuk bersendirian dengan seorang perempuan kecuali muhrimnya (suaminya, anak, abang, ayah, pakcik, saudara mara rapat yang beliau tidak boleh berkahwin).”

b. Seorang doktor hendaklah tidak melihat muka pesakit wanitanya; beliau hendaklah cuba untuk tidak melihatnya sebagaimana Allah berfirman dalam Surah 24, ayat 30 yang bermaksud:

“Katakanlah kepada orang lelaki yang beriman; “Hendaklah mereka menahan pandangannya; yang demikian itu adalah lebih suci bagi mereka, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka perbuat.”

c. Menasihati pesakit wanita berkenaan dengan bertudung cara Islam.

d. Memeriksa pesakit pada bahagian yang perlu sahaja.

"Kami mohon daripada Allah SWT agar Allah yang Maha Perkasa memberikan kami pertolongan dan petunjuk serta membetulkan kami dalam segenap urusan, niat dan perbuatan kami serta kami bersyukur kepadamu ya Allah yang merupakan satu-satunya Tuhan bagi seluruh alam."

Sumber Rujukan :

Tugas Dan Tanggungjawab Seorang Doktor Muslim
(Dr.Shabib Ibn Ali Al-Hathery)

Blog sebagai wadah ilmu

Blog Klinik Ibnu A'Nafis diwujudkkan untuk sebagai wadah ilmu tentang dunia perubatan. Nama Ibnu A' Nafis digunapakai sebagai tanda ingatan penghargaan kepada tokoh ilmuan Islam yang banyak berjasa dalam dunia perubatan. Walaupun namanya tidak dikenali sebagaimana Ibnu Sina tetapi jasanya sangat besar setara dengan ilmuan besar yang lain. Artikel-artikel tentang perubatan akan dimasukkan untuk tatapan pembaca, dan pembaca boleh bertanya tentang masalah perubatan berkaitan secara langsung. Insya'allah saya akan menjawab dengan sebaik mungkin.

IBN AL-NAFIS & SUMBANGAN

 


LATAR BELAKANG

Nama penuh Ibnu al-Nafis ialah ‘Ala’uddin abu al-Hasan ali ibn abi al-Hazam al-Qrasyi, seorang Arab berketurunan Quraisy.Beliau telah dilahirkan di pinggir Bandar Damsyik pada tahun 607H(1210M).

 Di situlah kemudiannya beliau hidup dan berguru dengan ahli perubatan, termasuk al-Syiekh Radhiuddin Abu al-Hajjaj Yusuf Ibn Hidrah al-Rahibi. Antara guru beliau yang lain dalam bidang perubatan ini termasuklah al-Hakim Muhazzibuddin Abu Muhammad Abdul Rahim ibn Ali al-Dakhwar dan ‘Imran al-Isra’ili.

Ibnu a-Nafis ialah rakan sepengajian dengan Maufiquddin qabu AL-Abbas Ahmad Iibnal-Qasim yang terkenal dengan nama Ibn Abi Usaiba’ah, penulis buku yang masyhur yang menceritakan tentang kedudukan dan kesarjanaan para ahli perubatan.Mereka kemudiannya berpindah ke Kaherah dan sama-sama bekerja di al-Nasiri. Di hospital inilah Ibn al-Nafis telah mencapai kemajuan menjadi ketua hospital berkenaan, sementara Ibn Abi Usaiba’ah menumpukan perubatannya kepada perubatan mata. Beliau telah menetap di Kaherah sehingga beliau meninggal dunia pada 686 H(1288 M) sewaktu umur beliau 80 tahun.

Meskipun bidang utama beliau adalah perubatan, namun Ibn al-Nafis tetap mendalami ilmu-ilmu bahasa, fiqh, falsafah dan ilmu kalam. Dalam bidang perubatan, ada orang yang menyamakan beliau dengan Ibnu Sina. Malahan ada juga orang yang berpendapat bahawa beliau adalah lebih serlah dan terkemuka di dalam para sarjana islam yang ada.

SUMBANGAN


Dalam bidang perubatan, secara khususnya Ibnu al-Nafis mempunyai kepakaran yang tinggi dalam bidang pembedahan. Penemuan sistem peredaran darah kecil juga telah membuatkan Ibnu al-Nafis terkenal sebagai tokoh sarjana islam yang terkenal.  Selain itu juga Ibnu al-Nafis juga melancarkan kempen memerangi wabak. Sebelum beliau meninggal dunia, beliau telah membina sebuah hospital.

i) Bidang Pembedahan


Dalam bidang pembedahan, beliau sangat berminat dengan pembedahan jantung dan kerongkong, kerana kerana beliau telah percaya pada wujudnya pertalian yang rapat antara pernafasan dan denyutan jantung.

            Bagi memajukan lagi bidang pembedahan ini, Ibnu al-Nafis menasihatkan supaya pembedahan perbandingan dibuat dengan melakukannya ke atas binatang. Menurut beliau, langkah seperti ini boleh membantu kita memahami dengan lebih mendalam tentang tubuh manusia dan fungsi semua organ yang terdapat dalam tubuh manusia.
           
ii) Memerangi Wabak.

 Ibnu al-Nafis bersama doktor-doktor Mesir yang lain melancarkan kempen memerangi wabak yang tidak mengenal mangsa sama ada kanak-kanak mahupun kaum dewasa. Wabak ini merebak selama enam bulan dan akhirnya ia berjaya dikawal oleh Ibnu al-Nafis. Dengan kejayaan ini Ibnu al-Nafis telah digelar al-Misri oleh penduduk di negara Mesir.

iii) Penemuan Sistem Peredaran Darah Kecil.

Perkara baru yang terpenting yang diajukan oleh Ibnu al-Nafis dalam syarahannya dalam kitab anatomi ibn Sina ini ialah teori tentang peredaran darah ialah pergerakan darah iaitu pergerakan darah dalam kitaran. Peredaran darah ini dikenali pada zaman sekarang sebagai ‘sistem sirkulasi pulmonari’.

            Orang zaman dahulu mempercayai bahawa darah bergerak daripada jantung ke dalam jasad menerusi pembuluh dan saluran darah mengikuti denyutan nadi. Kemudian datang Galen iaitu sarjana perubatan Yunani yang mengatakan bahawa darah tersebar ke dalam badan daripada jantung menerusi pergerakan seperti alunan ombak melalui arteri itu sendiri.
                                                                                                 
Para doktor aliran Iskandariah merujuk semula kepada teori perubatan Mesir kuno. Ibnu Sina mengikuti teori doktor Yunani iaitu Galen tentang peredaran darah. Ibnu al-Nafis pula dalam syarahannya dalam kitab anatomi Ibnu Sina mangesahkan pendapat ini. Menurut Ibnu al-Nafis ruang jantung mempunyai dua sahaja tidak seperti yang didakwa oleh Ibnu   Sina .

Katanya, aliran edaran darah ialah daripada ventrikal kanan kepada paru-paru. Dalam paru-paru, udara bertemu dengan darah. Darah itu kemudiannya meninggalkan paru-paru dengan mengikuti arteri paru-paru lalu masuk ke dalam ventrikal kiri dalam jantung dari sini, darah disebar ke seluruh badan.

Pendapat yang diajukan oleh Ibnu al-Nafis kepada ilmu perubatan adalah teori yang baru. Teori ini menegaskan bahawa wujudnya peredaran darah dari jantung ke paru-paru dan dari paru-paru kepada jantung. Oleh itu, beliau telah mengasaskan ‘teori sirkulasipulmonari’. Akan tetapi Ibnu al-Nafis tidak sempat untuk mengkaji sistem peredaran darah keseluruh tubuh dalam waktu yang sama.

iv) Membina Sebuah Hospital

Semasa umur beliau mencecah lingkungan 74 tahun, beliau telah ditugaskan oleh Sultan Qalawun untuk membina sebuah hospital baru di Kaherah. Beliau menyelia pembinaan ini menurut keperluan perubatan berkenaan bahagian-bahagian hospital tersebut, wad, farmasi, perpustakaan, ruang menunggu, dan bilik khas untuk doktor. Selain itu juga, beliau memperkenalkan konsep teaching hospital. Hospital itu telah dirasmikan oleh Sultan Qalawun dan dinamakannya dengan ‘al-Mansuri’.
           
KARYA.

Sebagaimana para sarjana islam yang lain,Ibnu al-Nafis telah menulis banyak buku-buku dan rencana. Walaubagaimana kebanyakannya telah hilang.

            Antara buku beliau yang masih ada termasuklah al-Kitab al-Syamil Fi al-Tibb tenrtang ensiklopedia perubatan, Kitab al-Muhadhdhab fi al-Kuhl mengenai opthalmilogi, al-Muhazzab berkenaan tentang perubatan mata, al-Mukhtar yang mengatakan tentang pemakanan, Syarh al-Hidayah adalah ulasan terhadap karangan Ibnu Sina tentang perubatan, al-Risalah al-Kamiliyyah fi al-Sirah al-nobawiyyah yang menyatakan tentang kisah hidup Nabi Muhammad. Selain itu al-Mujaziaiti ringkasan daripada kitab Ibnu Sina, al-Qanun. Fi ‘I-Tahibbi dan beberapa kritikan terhadap karya Hipokrates, Ibnu Sina dan Humaym Ibnu Ishaq. Beliau juga menulis buku ringkas karya Aristotles tentang logik.

            Ibnu al-Nafis adalah seorang lagi tokoh kesarjanaan islam yang mewakili zamannya pada zaman itu. Beliau seorang yang mempunyai pandangan yang luas dan juga berfikiran kreatif dalam membuat kerjanya. Di dalam kerjayanya sebagai seorang doktor, beliau sering dilantik sebagai doktor peribadi oleh pemerintah-pemerintah.

 Beliau banyak menguasai bidang ilmu agama iaitu ilmu akhirat meskipun yang paling utama sekali ialah bidang perubatan dan beliau seorang ahli fizik yang terkemuka di Mesir dan di negara Islam yang lain.
           
Sumbangan beliau kepada pembangunan ilmu dan tamadun manusia adalah sangat besar sekali kepada dunia islam pada zaman dahulu dan sekarang. Tidak hairanlah mengapa beliau antara tokoh yang tercatat dalam sejarah tamadun Islam.