BUAH-BUAHAN adalah sumber makanan alami yang
sudah tersedia ada dan mudah didapati, tetapi sayang, ia kadang kala dilupakan
begitu saja terutama mengenai khasiatnya. Buah kiwi misalnya, walaupun sangat
kecil tetapi ‘gagah’ kerana ia sumber baik untuk magnesium, vitamin E dan
serat, di samping mengandungi vitamin C sebanyak dua kali ganda berbanding
sebiji buah oren.
Begitu juga epal, sebiji sehari menjauhkan kita
dari berjumpa doktor. Walaupun sebiji epal mengandungi vitamin C yang rendah,
ia mempunyai antioksidan dan flavanoids, yang mana menambahkan aktiviti untuk
vitamin C, secara tidak langsung membantu mengurangkan risiko barah kolon,
sakit jantung dan angin ahmar.
Buah oren pula adalah antara ‘ubat’ paling
manis. Mengambil dua atau empat biji buah berkenaan sehari, boleh menjauhkan
selesema, kolesterol mencegah dan melarutkan batu di dalam buah pinggang serta
memperkecilkan risiko barah kolon. Buah mangga juga mempunyai rahsianya
tersendiri dan mungkin ramai yang tidak tahu mengenai manfaatnya dalam membantu
membaiki kesihatan seksual, khususnya bagi lelaki.Menerangkan fakta itu, pakar diet klinikal, Tan Yen Sing, berkata di sebalik rasa yang enak dan segar, mangga juga kaya berbagai vitamin, mineral, serat, dan karbohidrat. Malah, ia juga mengandung antioksidan yang tugasnya melawan radikal bebas, penyebab pelbagai penyakit seperti tekanan darah tinggi dan kardiovaskular. Tan berkata, selain membantu sistem pencernaan, sebahagian besar seratnya larut dalam air dan dapat menjaga kolesterol supaya tetap normal.
Dengan ada semua khasiat itu dalam buah mangga ia turut membuatkan pengaliran darah dalam tubuh berjalan lancar dan keadaan itu amat baik untuk lelaki ketika melakukan hubungan seksual, sekali gus membentuk gaya hidup seks yang lebih sihat.
Kempen anjuran MBG Fruitsshop itu bertujuan membantu menjelaskan mengenai hasil kajian kesihatan terkini kepada rakyat Malaysia, di samping mendidik dan menyebarkan maklumat terkini sebagai panduan. Kempen berkenaan dilancarkan oleh Pengarah Urusan MBG Fuitshop, Adnan Lee bersama dua selebriti, Jojo Struys dan Hansen Lee.
Baik Untuk Kesihatan
Tan berkata, pengambilan buah-buahan sama ada
yang diimport mahu pun tempatan adalah baik dan memberi manfaat kepada
kesihatan. Ini dibuktikan oleh banyak hasil penyelidikan di seluruh negara.
Banyak manfaat buah-buahan dibuktikan dari segi saintifik, justeru, orang ramai
tidak kira lelaki atau wanita dari pelbagai peringkat usia sentiasa digalak
atau menjadikan buah-buahan sebagai satu hidangan wajib dalam menu harian.Beliau berkata, pada 2005, lebih 17 juta orang meninggal dunia akibat penyakit kardiovaskular. Angka itu mencerminkan 30 peratus daripada kematian global. Kajian turut menunjukkan pengambilan lebih daripada lima hidangan buah-buahan dan sayuran sehari mengurangkan sehingga 17 peratus penyakit jantung koronari.
Kajian lain pula mendedahkan, kira-kira 19
peratus pengidap kanser usus dan 31 peratus pesakit yang mengalami pembuluh
tersumbat didapati kurang mengambil buah-buahan dan sayur-sayuran.
Antara khasiat penting yang terdapat dalam
buah-buahan ialah kandungan seratnya terutama membantu pencernaan. Bagi orang
dewasa, pengambilan serat yang diperlukan ialah 20 gram hingga 35 gram sehari
manakala kanak-kanak berusia dua tahun ke atas ialah tiga gram hingga 18 gram.
Bagaimanapun, secara purata rakyat Malaysia yang
dewasa mengambil kurang daripada 12 gram serat sehari dan ini sudah tentu belum
mencukupi. Antara buah-buahan yang kaya dengan khasiat serat ialah epal,
pisang, anggur, kiwi dan mangga.
Tanpa pengambilan serat, makanan mengambil masa
antara 70 jam hingga 80 jam untuk melalui saluran penghadaman. Mengurangkan
masa yang diambil makanan untuk melalui saluran itu dapat melindungi daripada
serangan kanser usus besar dan rektum dengan mencairkan bahan beracun yang
terdapat dalam usus besar serta mempercepatkan pengeluarannya dari tubuh.
Tan berkata, buah-buahan boleh diambil setengah
jam sebelum atau selepas makan. Sebaiknya, alas perut dulu dan jangan
memakannya secara tiba-tiba kerana ia boleh memberi kesan pada perut jika tidak
biasa. Pengambilan buah-buahan sebaik-baiknya dipelbagaikan, malah lebih elok
jika dalam pelbagai warna seperti pelangi kerana ia dapat menjamin khasiat yang
lebih banyak dapat dinikmati.
Nikmati Buah-Buahan
Ada pelbagai cara untuk menikmati buah-buahan
dengan lebih menyelerakan. Misalnya, jika ingin menjadikan pemanis mulut, anda
boleh letakkan ais krim di atasnya atau tambahkan dadih tetapi pastikan jangan
terlalu manis terutama jika makan mangga kerana buah itu sendiri sudah pun
manis. Untuk mendapatkan tidur yang lebih tenang dan berasa rehat, ada juga
yang mencadangkan minum susu panas terlebih dulu, kemudian barulah makan buah
kiwi.
Bagi yang ada penyakit tertentu atau mempunyai
masalah kesihatan, perlulah berhati-hati dan bersikap memilih. Ini kerana ada
buah-buahan tertentu, mungkin tidak sesuai diambil. Contohnya, jika individu
berkenaan mempunyai masalah penyakit buah pinggang kronik, jangan sama sekali
mengambil buah belimbing kerana pengambilannya boleh memburukkan keadaan.
Khasiat Buah-Buahan:
Anggur/kismis
Mengurangkan risiko kanser, strok, penyakit
jantung dan kehilangan ingatan, antipenuaan, antioksidan, antiradang, menjaga
kesihatan kulit, mata, kardiovaskular, kesihatan gastrik, kesihatan saluran
kencing dan menentang penyakit gusi.
Oren
Menjaga kesihatan jantung, penglihatan, pelalian
dan mengurangkan risiko pelbagai kanser. Antioksidan, membantu perkembangan
otak janin dan mengawal tekanan darah.
Epal
Mencegah demensia, mencegah kenaikan berat
badan, menurunkan kolestrol, menentang kanser dan anti oksidan.
Pear
Antioksidan, menjaga kesihatan kardiovaskular,
antiradang, menjaga kesihatan jantung, menyembuhkan luka dan lebam, membaiki
tisu, menjaga kesihatan penglihatan, menentang jangkitan, menyokong transmisi
saraf, melawaskan perut.
Pisang kaki
Menjaga kesihatan penglihatan, melegakan
sembelit, cirit-birit, hemoroid (buasir) dan antioksidan.
Mangga
Antikanser, menjaga kesihatan penglihatan,
membantu penghadaman, menjaga kesihatan kulit, membantu membaiki kesihatan
seksual, berfaedah bagi anemia dan mencegah selaran panas.
Kiwi
Membantu mengatasi insomnia, mencairkan darah
untuk kesihatan kardiovaskular (menurunkan kolesterol dan trigliserida),
membantu membaiki pernafasan kanak-kanak (pendek nafas, berdehit dan batuk
malam), mencegah kerosakan kulit yang menyebabkan kanser kulit, menjaga
kesihatan penglihatan, kesihatan kolon dan kesihatan prostat.
Pisang
Antikemurungan (membantu membaiki ragam diri dan
tidur), antioksidan, mengawal tekanan darah, meningkatkan daya tumpuan dan
menguatkan ingatan, meningkatkan tenaga, menjaga kesihatan jantung,
mengurangkan risiko kanser, melegakan ciri-birit dan juga sembelit.
sumber: Berita Harian